Buletin

PROTON X50, SAMA TAPI TAK SERUPA GEELY BINYUE!

Sememangnya diketahui umum Proton X50 adalah model yang dijenamakan semula dari Geely Binyue. Nampak seperti kerja mudah kerana tiada perubahan besar pada bahagian kosmetik luar dan dalam SUV itu.

Jika mudah kenapa X50 mengambil masa begitu lama untuk dikeluarkan? Kenapa Proton menghabiskan banyak masa untuk menguji SUV yang sudah dijual di negara asalnya?

Jawapannya terletak kepada tanggungjawab bagi menghasilkan kereta yang sesuai dengan pengguna dan piawaian tempatan.

Satu dari piawaian yang dimaksudkan ialah Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN yang menilai tahap keselamatan kenderaan.

Program NCAP tidak sama dengan sesebuah rantau lain dan disebabkan itu kereta yang dibawa masuk dinilai semula.

Di dalam konteks ini Proton X50 telah berjaya mencatatkan skor lima bintang ASEAN NCAP dan ia sebenarnya telah melalui beberapa kerja-kerja kejuruteraan semula.

Berikut kami bawakan perbezaan Proton X50 seperti yang dikongsikan Ketua Keselamatan dan Pemanduan Pintar PROTON, Zanita Zainuddin.

Lantai depan

Di antara perubahan penting yang dibuat ialah pada badan Proton X50.

Ketika ujian pelanggaran fasa pembangunan dibuat, didapati bahawa lantai depan kerap koyak dan ia satu ciri yang tidak diterima mengikut piawaian ASEAN NCAP.

Piawaian badan itu sangat ketat untuk koyakan pada bahagian kaki.

Bagi mengatasi masalah tersebut, para jurutera mengukuhkannya dengan besi kekuatan ultratinggi dan mengalihkan daya impak ke kawasan lain yang tidak mendatangkan sebarang ancaman kepada keselamatan penumpang.

Secara keseluruhannya 40 peratus dari badan Proton X50 seperti bahagian depan, sisi dan belakang dibuat menggunakan pelbagai kombinasi besi kekuatan tinggi.

Tempat letak kaki

Satu lagi perubahan menarik ialah tempat letak kaki (footrest) iaitu di sebelah pedal minyak dan brek.

Kedudukan enjin lazimnya di bawah hud dan bahagian kanan kereta tanpa mengira bahagian mana kedudukan stereng.

Disebabkan itu pemandu Proton X50 akan lebih terdedah kepada kecederaan kaki ketika berlakunya kemalangan.

Bagi melindungi pemandu, tempat letak kaki Proton X50 diubahsuai bagi memastikan kaki kekal berada di situ dan mengurangkan kegelinciran.

Beg udara sisi (Curtain airbag).

Di sebalik perubahan yang dibuat, adalah penting untuk diketahui bahawa kedua-dua badan NCAP mempunyai set kriteria berbeza bagi mendapatkan skor lima bintang.

Untuk Geely, kebanyakan kereta dibangunkan bagi mematuhi kriteria yang ditetapkan C-NCAP dan dari situ boleh dilihat perbezaan di antara dua badan pengujian.

Satu dari contoh keadaan ini ialah beg udara sisi (curtain airbags).

Piawaian ASEAN-NCAP menetapkan pelepasan beg udara sisi perlu merangkumi pelbagai jenis badan untuk individu berbeza yang memandu.

Disebabkan itu, beg udara untuk Proton X50 perlu dilaras semula supaya dapat memberikan tambahan serapan kepada bahagian kepala ketika berlakunya impak terutama sekali semasa pelanggaran sisi.

Memandangkan perubahan tersebut berjaya menambah ciri perlindungan kepada penumpang, kini ianya menjadi saranan tinggi untuk digunakan pada model masa depan Geely dan menjadi ciri kekal.

Tanpa Fungsi Maklumat Had Laju (SLIF)

Fungsi ini dibangunkan untuk mengenalpasti isyarat jalan raya di China dan memaklumkan kepada pemandu had laju semasa.

Jika ianya dikekalkan, berkemungkinan maklumat salah dihantar kepada unit kawalan Proton X50 disebabkan perbezaan bahasa, huruf dan papan tanda.

Disebabkan keutamaan masa untuk menawarkan Proton X50 kepada pengguna, fungsi tersebut ditangguhkan dahulu untuk dilaraskan semula di dalam model akan datang.

Perlindungan kanak-kanak

Satu lagi pembelajarn untuk Geely ialah berkaitan penilaian Perlindungan Kanak-Kanak (COP).

C-NCAP tidak membuat penilaian terhadap keselamatan kerusi bayi untuk penumpang kecil tetapi berkemungkinan tinggi akan diperkenalkan pada tahun 2021.

Ini menghasilkan satu peluang buat Geely untuk berkerjasama dengan PROTON bagi melindungi penumpang kecil.

Satu dari perubahan yang dibuat ialah pemanjangan cangkuk pelekatan ISOFIX dan menjadikannya lebih senang untuk memuatkan kerusi kanak-kanak dan melaras sudutnya  supaya kerusi boleh diletakkan di dalam kereta dengan selamat.

Dua-dua dapat manfaat

Geely dan PROTON masing-masing menerima manfaat di mana kedua-dua jenama tertakluk kepada kelulusan keselamatan dan piawaian pasaran berbeza.

Di dalam keadaan ini, amalan terbaik dikumpulkan dan dikongsi pada masa kedua-dua syarikat berusaha bagi menambah baik tawaran kepada pengguna.

Akhir sekali, faedahnya dapat dinikmati oleh pengguna.

BACA: PROTON CATAT JUALAN 109,716 UNIT PADA 2020. PENINGKATAN 8.8 % BERBANDING 2019

BACA: GEELY DALAM FORTUNE 500, RAIH HASIL RM199B!

BACA: GEELY DAN PROTON, CABARAN YANG MULA MEMBUAHKAN HASIL

Google ads
Back to top button