Buletin

GEELY NYATA KOMITMEN LABUR SEBANYAK RM45.3 BILION – JADIKAN TANJUNG MALIM SEBAGAI KOTA AUTOMOBIL TERBESAR DI ASEAN

Syarikat automotif China, Geely menyatakan komitmen untuk melabur tambahan sebanyak AS$10 bilion (RM45.3 bilion) di Malaysia untuk terus membangunkan Tanjung Malim, Perak sebagai kota automobil terbesar di rantau ini.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, hasrat Geely itu berpotensi melonjakkan ekonomi serta mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Syarikat Geely, yang bekerjasama dengan Proton, mereka tulis surat kepada saya sepanjang 10 halaman. Beritahu mereka nak teruskan rancangan menjadikan Tanjung Malim sebagai kota automobil terbesar di rantau ini.

“Mereka akan mula dengan pelaburan AS$10 bilion (RM45.3 bilion). Maknanya sekitar RM40 bilion. Untuk apa? Untuk saya ambil komisyen? Untuk saya terima hadiah? Atau untuk jamin ekonomi kita naik dan ribuan anak-anak kita mendapat kerja?” jelasnya.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan Arab Saudi serta syarikat minyak dan gas (O&G) Aramco dari negara itu akan menumpukan pelaburan dan perkembangan operasinya di Malaysia.

“Ketua Pegawai Eksekutif Aramco Amin Nasser berjumpa saya dan memaklumkan bahawa Aramco sekarang senang dengan dasar termasuk pimpinan kerajaan.

“Maka dengan itu, syarikat berkenaan membuat keputusan untuk menjadikan Malaysia hab perkembangan O&G bagi Arab Saudi di Asia Tenggara.”

“Kebetulan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menunaikan haji (baru-baru ini), dan baginda duduk di sebelah Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Al Saud, memberitahu bahawa pelaburan Arab Saudi untuk Asia tertumpu di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Malaysia ketika ini mencatatkan pencapaian ekonomi negara yang baik, melibatkan pertumbuhan suku pertama 5.6 peratus lebih tinggi berbanding China, Singapura dan Indonesia.

Tambah beliau lagi, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, negara berjaya menarik pelaburan sebanyak RM71 bilion. – BERNAMA

Google ads
Back to top button