Buletin

GEELY VISION STARBURST. JENTERA KONSEP ERA DIGITAL

Geely Design Shanghai memperkenalkan visi reka bentuk baharu dibangunkan dari falsafah rekaan Expanding Cosmos Geely yang melangkaui sempadan teknologi dan inovatif pada era digital baharu.

Vision Stardust menguji ekspresi dan alternatif baharu falsafah berkenaan yang digunakan Geely Auto sebagai model-model masa hadapan.

Timbalan Presiden Geely Design Shanghai, Guy Burgoyne berkata falsafah Expanding Cosmos bertindak sebagai inspirasi berterusan kepada para pereka memperoleh bahasa rekaan baharu dan holistik dalam memuaskan pelanggan-pelanggan yang semakin berkembang.

“Dalam pencarian DNA era digital baharu ini, kami melangkaui sempadan teknologi dan inovatif.

“Ia seperti kelahiran bintang baharu, idea daripada gabungan pasukan berbakat dan pereka global kami disatukan sehingga lahir visi baharu, Vision Starburst,” katanya.

Inspirasi Vision Starburst diilhamkan daripada fenomena luar biasa apabila nebula dan elemen-elemen menakjubkan bergabung serta bersatu sehingga tercipta bintang baharu.

Melalui Vision Starburst, setiap para pereka Geely Shanghai akan bekerjasama sepanjang proses rekaan sehingga mencapai kata sepakat dalam rekaan luaran dan dalaman, warna, bahan-bahan yang akam digunakan malah kenderaan serta pengguna.

Dalam membentuk reka bentuk konsepsi pula, rekaan berkenaan mendapat inspirasi dari sinar bintang dan gelombang dalam lipatan serta persilangan garis pada permukaan.

Aspek visual paling menyerlah Vision Starburst bermula pada bahagian gril hadapan dan saluran udara.

Gril hadapan menampilkan perubahan dramatik berbanding rekaan Geely Auto terdahulu dengan paten parabolik unik baharu dan lebih tajam dipadankan rekaan lampu baharu sekali gus mencipta kesan tema yang dikeluarkan dari Starburst.

Konsep lampu utama merupakan ‘mata’ kenderaan juga telah diubah apabila para pereka Geely membayangkan kenderaan masa hadapan dilihat melalui sensor berteknologi tinggi.

Secara keseluruhan, visual kenderaan mengalami perubahan ketara dari bahagian tengah sehingga sisi, atas dan bawah sekali gus memberi penampilan lebih berkuasa serta aura tiga dimensi.

Garis badan Vision Starburst dilengkapi panel pintu berintegrasi, garis tajam menyerlahkan keberanian ditonjolkan jentera dan menyembunyikan sedikit gambaran visi konsep akhir berkenaan.

Ruang dalaman pula, panel pintu direka untuk dipadankan rekaan luaran.

Selain itu, ia dilengkapi konsol terapung di bahagian tengah jentera, shifter hadir dengan bentuk aerodinamik geometrik dan empat baris lampu menyala menampilkan tetapan gear berbeza.

Vision Starburst turut dilengkapi pencahayaan ambient pada papan pemuka dan panel pintu dalam memberi pengalaman visual tanpa batasan kepada pengguna.

Instrumen tanpa sempadan dan penghantaran maklumat dengan lancar mengubah semula cara pengguna berinteraksi dengan kenderaan mereka.

Konsep menampilkan teknologi canggih dan mobiliti turut ditekankan pada lengkungan roda.

Kesan pencahayaan berbeza akan memberi indikasi berbeza seperti mengecas kenderaan, parkir dan kenderaan sedang bergerak.

Dalam pada itu,  HMI (human-machine interface) holistik pada bahagian dalam dan luar memainkan peranan penting rekaan konsep Vision Starburst.

Sama seperti rekaan luaran, pencahayaan ambient, bunyi dan suasana dalaman juga akan berubah bergantung kepada keadaan kenderaan sekali gus menyalurkan maklumat kepada pengguna melalui kaedah baharu.

Biarpun, konsep Vision Starburst tidak akan dibangunkan sebagai jentera produksi tetapi banyak aspek bahasa rekaan baharu bakal digunakan pada model masa hadapan Geely Auto.

GALERI:

Google ads
Back to top button