" "
Buletin

GEELY PERKENAL SUV MEWAH XINGYUE L DI SHANGHAI. PEMANDUAN AUTONOMOUS TAHAP 2, BOLEH DATANG JEMPUT PEMANDU!

Geely memperkenalkan SUV terbaharunya, Xingyue L pada acara Auto Shanghai 2021. Model flagship itu dibina di atas platform Compact Modular Architecture (CMA) Geely Volvo. 

Jentera itu tampil dengan falsafah rekaan moden Geely yang dikenali sebagai ‘Accelerating trough Space and Time”. Direka di Geely Design Shanghai, Xingyue L merupakan evolusi daripada konsep rekaan Preface Geely. 

Ia merupakan sebuah SUV yang cukup besar dengan dimensi tapak roda mencecah 2,845mm dan trek roda selebar 1,610mm. Jika dilihat dari mana-mana sudut pun, Xingyue L sememangnya mantap dan maskulin.

Lihat sahaja kepada gril Expanding Cosmos yang besar. Gril tersebut kemudian diapit dengan sepasang lampu utama LED matrix dengan jalur DRL pada bahagian atas dan bawahnya. Setiap lampu utama itu mengandungi 126 unit lampu LED yang boleh dikawal secara individu. 

Bahagian belakang pula diserlahkan dengan lampu dot matrix dengan 176 butiran LED. Disambung antara satu sama lain dengan satu jalur lampu, kesan visual aurora kosmik boleh lihat pada waktu malam. 

Ruang kabin Xingyue L menggabungkan keharmonian rekaan Timur dan Barat. Antara ciri yang paling ketara ialah skrin infohibur sepanjang satu meter. Kepuasan menikmati hiburan juga dipertingkatkan menerusi penggunaan sistem bunyi Bose dengan 10 unit pembesar suara bersama penyerap bunyi bising dua lapisan. 

Generasi terkini GKUI membolehkan ketersambungan yang lancar, pemindahan data ultra laju, bersama skin beresolusi tinggi 1920×720. 72 warna lampu kabin pula boleh diubah mengikut mood pemandu. 

Kemewahan ruang dalaman itu jelas kelihatan dengan penggunaan warna hitam dan gangsa klasik kehijauan. Kemasan suede pada beberapa bahagian pula memberikan rasa elegan pada ruang tersebut. 

Xingyue L dikuasakan oleh enjin pancitan terus bahan api bersesaran 2.0 liter yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo. Pelanggan ditawarkan dengan dua talaan enjin iaitu 238PS dan tork 380Nm yang dipadankan dengan kotak gear Aisin lapan kelajuan automatik. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda menerusi sistem pacuan empat roda daripada BorgWarner.

Dengan agihan kuasa tork 50:50, pemandu boleh memilih lima mode pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport, Snow dan Offroad. Pecutan dari 0-100 km/j pula mampu dicapai dalam masa 7.7 saat sahaja. 

Satu lagi talaan ialah enjin berkuasa 218PS dan tork 325Nm yang dipadankan bersama kotak gear klac basah berkembar tujuh kelajuan yang dibangunkan sendiri oleh Geely. Kuasa yang disalurkan ke roda hadapan itu membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa 7.9 saat. 

Lebih menarik lagi, Xingyue L dilengkapi sistem valet automatik yang tidak memerlukan campur tangan manusia. Sistem pemanduan autonomi Tahap 2 itu membolehkan SUV berkenaan bergerak sendiri dalam kawasan parkir, mencari ruang kosong dan memarkir sendiri. 

Pemandu juga boleh ‘memanggil’ Xingyue L untuk datang menjemput mereka dari jarak 200 meter. Ia mampu berbuat demikian hasil integrasi 12 radar ultrasonic, radar gelombang 5 milimeter, 4 kamera pandangan keliling berdefinisi tinggi, 1 kamera monokular, 1 dashcam, 1 kamera dalaman dan 24 sensor keliling. 

Seperti biasa, semua perisian melibatkan aspek keselamatan, sistem infohibur, pemanduan autonomous dan ketersambungan jentera itu akan dikemas kini secara over-the-air (OTA) dari semasa ke semasa. 

GALERI

Google ads
Back to top button