Artikel Pilihan

GENEVA MOTOR SHOW MAKIN SEPI – HANYA 8 SYARIKAT PENGELUAR KENDERAAN TURUT SERTA

Satu ketika dahulu Geneva Motor Show disifatkan sebagai pameran permotoran terbesar dan terhebat di dunia. Inilah tempat model-model konsep diperkenalkan kepada umum dan ramai pengeluar berlumba-lumba untuk turut serta bagi mendedahkan model-model terbaik mereka. Kini putaran roda sudah berputar dan kegemilangan masa lampau tidak akan berulang. Untuk tahun ini hanya lapan pengeluar sahaja yang megesahkan penyertaan dalam pameran motor bersejarah ini.

Pameran tahun ini dijadualkan berlangsung dari 26 Februari sehingga ke 3 Mac hanya akan disertai dua syarikat ternama dari Eropah, Renault dan Dacia. Macam mana dengan syarikat Jepun? Satu pun tak ada bang. Syarikat lain yang turut serta ialah BYD, Isuzu, Lucid, MG Motor, Microlino dan Pininfarina.

Jadi kalau ada yang kebetulan melancong ke Eropah dan ingin melihat model-model terbaru Mercedes-Benz, BMW, Lamborghini, Ferrari, Mini di pameran ini lupakan sajalah. Proton dan Perodua lagi la tak ada.

Kalau ikutkan ada 29 syarikat semuanya yang turut serta tapi selain dari 8 yang disebutkan tadi yang lain semuanya syarikat berasaskan komponen dan aksesori auto dan pasukan lumba.

Penurunan ketara jumlah penyertaan bukannya sesuatu yang mengejutkan kerana perubahan trend di mana pengeluar memilih platform lain untuk memperkenalkan produk mereka. Antaranya termasuklah pendedahan secara digital selain acara serantau yang lebih sesuai untuk sasaran jualan.

Kos yang tinggi juga menjadi salah satu faktor utama selain pengaruh laman-laman media sosial yang semakin popular.

Mungkin tahun ini juga bakal menjadi penentu nasib pameran-pameran motor yang bakal diadakan di Eropah di masa akan datang. Nampaknya keindahan bumi bersejarah Switzerland gagal memikat penyertaan lebih banyak syarikat pengeluar kenderaan untuk turut serta kali ini. Kalau macam ni peluang kami untuk ke sana pun semakin kelam nampaknya.

Google ads
Back to top button