Artikel Pilihan

GENTLEMEN AGREEMENT, PERJANJIAN YANG DIGENTELKAN OLEH EU

Pada tahun 1992 Honda memutuskan untuk memulakan perang dan perlumbaan dalam dunia motosikal dengan melancarkan model CBR900RR ataupun nama manjanya Fireblade. Ducati menyambut seruan ini dengan melancarkan model 916, diikuti oleh Suzuki GSXR750, Kawasaki ZXR750, Aprilia RS250 dan juga Yamaha YZF-R1

Semua pengeluar pada ketika ini mulai obses dengan mengejar kelajuan tinggi. Bagi meletakkan diri dihadapan jauh daripada pesaing, Kawasaki menghasilkan ZZ-R1100 atau Ninja ZX-11. Superbike ini dijana dengan enjin 1052cc, 4 silinder yang menghasilkan 145 kuasa kuda dan juga Ram Air Intake. Ini menjadikan ZX-11 adalah motosikal paling laju yang dihasilkan secara standard kilang pada 283km/jam

Honda pula membalas dengan menghasilkan CBR1100XX Super Blackbird yang diinspirasikan oleh pesawat Lockheed SR-71 Blackbird iaitu sebuah pesawat risikan terpantas di dunia. Blackbird menggunakan enjin 1137c karburetor, 4 silinder yang menjana 164 kuasa kuda dan 119Nm tork bagi mencapai halaju 287.3 km/jam. Dalam sesetengah ujian, Blackbird 6km/jam lagi laju daripada ZX-11

Suzuki pula menunjukkan taringnya dengan menghasilkan GXS-1300R atau lebih dikenali dengan nama Hayabusa yang membawa maksud helang. Ia merupakan motosikal dengan enjin paling besar, paling berkuasa dan direka dengan cukup aerodinamik bagi mengalahkan Honda dengan 312km/jam. Cukup gila pada tahun 1999.

Kawasaki juga berminat untuk mengalahkan Honda dan Suzuki dengan model ZX-12R dengan visi yang jelas, 200 batu sejam atau 321km/jam. Isu perlumbaan ini membuatkan beberapa ahli politik, penggubal dasar dan persatuan pengguna Eropah berasa bimbang dengan superbike yang menjadi semakin laju. Cadangan mereka, hentikan sahaja jualan superbike ini di Eropah.

Maka wujudlah gentlemen agreement antara pemain industri superbike bagi menghadkan kelajuan maksima superbike mereka. Buktinya pada tahun 2000, Kawasaki ZX-12 dilancarkan namun ia tidak melebihi 300km/jam

Ada beberapa khabar angin mengatakan yang beberapa wakil BMW telah datang ke Jepun untuk berbincang berkenaan dengan gentlemen agreement ini. Antara perbincangan mereka termasuklah, jika kerajaan EU meluluskan undang undang melarang penjualan superbike, maka semua pihak akan rugi. Jadi jalan terbaik ialah hadkan kelajuan pada 300km/jam

Suzuki dan Kawasaki secara rasmi tidak pernah mengakui kewujudan perjanjian ini. Hanya Honda mengatakan yang superbike mereka tidak akan melebihi 300km/jam. Kawasaki ZX-14 dilancarkan pada tahun 2006, ia lebih berkuasa, memecut lebih pantas daripada ZX-12 dan Hayabusa tapi kelajuan maksimanya dihadkan kepada 300km/jam sahaja.

Perjanjian ini dikekalkan beberapa tahun sehinggalah MV Agusta iaitu sebuah syarikat motor yang hampir bankrap menghasilkan model F4 R 312. Dalam hal ini 312 merujuk kepada kelajuan maksimanya iaitu 312km/jam dalam satu ujian bebas oleh pihak ketiga.

Paling ironi sekali ialah pihal BMW sendiri yang dikatakan memulakan inisiatif perjanjian ini turut menghasilkan superbike yang melebihi 300km/jam iaitu BMW S1000RR pada 303km/jam. Apa yang lebih menjengkelkan ialah, sebelum perjanjian ini dibuat BMW tiada superbike yang mampu mencapai 300km/ajm

Ducati turut sama menyertai BMW dengan menghasilkan Panigale R. Bagi model khusus untuk perlumbaan, ia boleh mencapai kelajuan maksima 325km/jam. Mungkin bengang dengan semua pihak yang mengkhianati perjanjian, Kawasaki menghasilkan sebuah model bagi menunjukkan kemampuan mereka dengan model H2R pada tahun 2015

H2R menggunakan enjin supercaj yang menjana sehingga 310 kuasa kuda dan mampu mencapai halaju tertinggi 400km/jam dengan bantuan pelumba, Kenan Sofuoglu. Namun untuk jualan, model tersebut ditala semula dengan kelajuan maksima 300km/jam. Sehingga pada hari ini, Gentlemen Agreement masih lagi kekal walaupun dicabuli oleh MV Agusta, BMW dan juga Aprilia.

Google ads
Back to top button