Buletin

GAGAL BERSAING, GENERAL MOTOR UMUM TUTUP KEDAI DI INDONESIA MULAI MAC 2020

General Motors (GM) mengumumkan secara rasmi bahawa ia akan menghentikan aktiviti jualan kenderaannya di pasaran Indonesia bermula Mac 2020.

Keputusan itu diumumkan oleh Presiden GM Asia Tenggara, Hector Villarreal pada Isnin lalu.

Pengeluar kenderaan yang berpangkalan di Detroit, Amerika Syarikat itu mengakui ini bukanlah satu keputusan yang mudah. Namun, mereka terpaksa fokus kepada pasaran yang dikuasai sekarang dan Indonesia bukanlah salah satu daripadanya.

GM kini perlu memaksimumkan aset dan sumbernya agar selari dengan strategi global untuk fokus kepada pasaran yang mempunyai hala tuju jelas dalam menjana keuntungan.

Satu lagi faktor utama kenapa GM keluar dari pasaran Indonesia adalah kerana harga komoditi dan tekanan ke atas nilai matawang asing. Biarpun begitu, Villareal berjanji GM akan terus menyediakan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan Chevrolet di semua cawangannya di Indonesia.

GM atau jenama Chevrolet pernah menguasai jalan-jalan di kota besar Indonesia pada sekitar tahun 1960 hingga 1970-an. Sebelum ia mula diganti oleh kenderaan jenama Jepun.

Namun begitu, GM kembali mengoperasikan kilangnya di Bekasi pada tahun 2005. Kemudahan itu menghasilkan MPV Chevrolet Spin dengan kapasiti 40,000 unit setahun. Tetapi, ia tidak dapat bertahan lama apabila terpaksa ditutup pada tahun 2015 kerana gagal bersaing dengan model-model lain terutama dari Jepun.

Sehingga sekarang, GM hanya menjual empat produk di republik tersebut iaitu Chevrolet Spark, Trax, SUV Trailblazer dan trak pikap Colorado.

Google ads
Back to top button