
GO AUTO MULAKAN PROGRAM CKD
Go Auto mengumumkan bahawa ia telah menghasilkan unit CKD pertama di saluran pengeluarannya semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Go Auto, Ahmad Azam memberitahu pihaknya kini bersedia untuk mengilang SUV Great Wall M4 sebagaimana yang telah dirancang. Kilang tersebut mampu menghasilkan sehingga 24,000 unit kenderaan setahun melalui operasi dua syif.
Dengan pengumuman ini, Great Wall M4 bertransmisi manual sudah boleh didapati mulai sekarang. Sementara model automatik pula akan mula dihantar kepada pelanggan menjelang akhir Januari 2015 dalam jumlah terhad, sebelum produksinya ditingkatkan pada Mac.
Ini merupakan pengalaman pertama buat Great Wall Motors mengeksport Great Wall M4 CKD AMT dengan pemanduan sebelah kanan. Jadi, ia mahu memastikan komponen yang dihantar ke Malaysia berada dalam keadaan sempurna.
Go Auto bakal melancarkan Great Wall M4 secara rasmi pada suku pertama 2015.