Buletin

KELAS TERSENDIRI MERCEDES-BENZ C-CLASS BAHARU

Mercedes-Benz C-Class merupakan antara model paling laris dengan jualan mencecah sehingga 10.5 juta unit sejak diperkenalkan pada tahun 1982.

Bahkan, ia menjadi tunjang kepada ‘strategi jenama’ pengeluar kenderaan dari Jerman itu sehingga memperkenalkan generasi baharu model terbabit.

C-Class terbaharu itu ditawarkan dalam dua reka bentuk, sedan dan station wagon malah tidak mempertaruhkan banyak perubahan terhadap falsafah C.

Ia menawarkan tiga warna baharu iaitu biru (Spectral Blue), perak (High-Tech Silver) dan putih (Opalite White).

Rekaan luaran masih konvensional tetapi mendapat pengaruh kuat daripada sentuhan E-Class dan CLA serta A-Class di bahagian hadapan.

Di bahagian belakang pula, menampilkan pengaruh kuat daripada  S-Class dengan beberapa perubahan dilakukan terhadap jentera baharu itu.

Semua model dilengkapi rekaan bintang di bahagian tengah manakala varian AMG Line menampilkan gril diamond dengan reka bentuk bintang krom.

Model baharu itu didatangkan lampu hadapan dan belakang dengan rekaan lebih moden dalam menyerlahkan sisi sporty jentera terbabit.

Dari segi rekaan dalaman pula, perbezaan ketara yang dapat dilihat ialah papan pemuka dan paparan bahagian tengah diposisikan sebanyak enam darjah pada pemandu bagi memberi keselesaan pemanduan.

Ia turut dilengkapi skrin infotainment dengan saiz 11.9 inci dan skrin kluster 12.3 inci. Pengguna juga diberi pilihan tiga gaya paparan skrin iaitu Discreet, Sporty dan Classic manakala tiga mod Navigation, Assistance serta Service .

Pengguna juga ditawarkan servis muzik dalam talian, yang operasinya bersepadu dengan sistem infotainment MBUX serta menampilkan ciri kemaskini over-the-air (OTA).

Mercedes-Benz C-Class didatangkan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) generasi terkini yang menawarkan pengalaman baharu kepada pengguna.

Model C-Class didatangkan dengan ukuran 65 mm lebih panjang  dan 10 mm lebih lebar berbanding model terdahulu.

Ia juga memiliki jarak antara roda lebih panjang 25 mm menjadikan ruang kabin lebih luas terutama di tempat duduk penumpang belakang.

Selain itu, keselesaan dapat dirasai pada bahagian ruang kepala, ruang siku dan ruang bahu.

Mercedes-Benz C-Class varian standard mendapat khidmat enjin 1.5 liter pacuan roda belakang dengan kuasa 167 hp dan tork 250 Nm.

Enjin tersebut dipadankan bantuan integrated starter-generator (ISG) yang menawarkan boost 20 hp dan tork 200 Nm sekali gus mampu memecut 0 hingga 100 km/j dalam 8.6 saat.

Varian C 200/C 200 4MATIC turut menggunakan enjin 1.5 liter dengan kuasa 201 hp dan tork 300 Nm, bantuan ISG dan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam tempoh 7.3 saat (sedan RWD) dan 7.5 saat (wagon RWD) manakala varian 4MATIC pula mampu memecut sepantas 7.1 saat.

Bagi plug-in hybrid C 300e pula, ia mendapat enjin 2.0 liter dan padanan motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 308 hp dan tork 550 Nm.

Ia turut dibekalkan pek bateri 25.4 kWh yang membenarkan jarak operasi sifar emisi sejauh 100 km (data WLTP).

Di pasaran Amerika Syarikat (AS), C-Class hanya didatangkan dalam satu varian iaitu C 300 dengan enjin 2.0 liter turbo menghasilkan 255 hp dan 400 Nm, sistem ISG, pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.9 saat dan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 209 km/j. – agensi

Google ads
Back to top button