
INFO TERPERINCI GWM SOUO S2000GL DIDEDAHKAN – 152HP, 460KG
Kami sebelum ini telah pun melaporkan bahawa jenama automotif China, Great Wall Motor (GWM) telah pun menghasilkan motosikal pertama menerusi jenama terbaru, Souo.

GWM turut mempamerkan enjin lapan silinder 2,000cc ketika di Beijing Autoshow 2024 sebelum memperkenalkan Souo S2000GL secara rasmi, Mei lalu. Bagaimanapun, GWM tidak mendedahkan info terperinci mengenai motosikal tersebut.
Kini, info lebih mendalam mengenai S2000GL telah pun didedahkan menerusi dokumen jenis kelulusan yang difailkan di China.

Ketika pelancaran, GWM memaklumkan bahawa S2000GL dikuasakan enjin 8-silinder 1,999cc dan dipadankan bersama transmisi DCT (dual-clutch transmission). Data terbaru mendedahkan bahawa model serba baharu ini menawarkan 152hp. Untuk perbandingan, Honda GL1800 Gold Wing menawarkan 125hp dari enjin 1,833cc.
Meskipun ada yang berasakan 152hp tidak cukup tinggi bagi enjin bersesaran 1,999cc namun sebagai sebuah ‘cruiser’ keutamaan diberikan pada tork rendah berbanding kuasa puncak.

Apa yang mencuri tumpuan adalah aspek berat dengan Souo S2000GL (yang lengkap dengan ‘panniers’, ‘top box’ dan penyandar) diletakkan pada 460kg sementara Gold Wing varian Tour lebih ringan dengan 383kg.
Bagaimanapun, berat tersebut adalah relevan kerana mengikut dimensi, S2000GL jauh lebih besar berbanding Gold Wing dari segi panjang, lebar dan jarak antara tayar.

Persoalannya, mampukah GWM menandingi kedudukan Honda Gold Wing selaku motosikal ‘cruiser’ paling popular dalam tempoh 50 tahun?