Motosikal

YAMAHA R1 DENGAN ENJIN V4 BAKAL JADI KENYATAAN?

Selepas pelbagai dakwaan, laporan, khabar angin dan desas desus akhirnya Yamaha mengesahkan pasukan itu sedang menguji enjin V4 1000cc dan V4 850cc untuk jentera YZR-M1 di Valencia. 

Menurut laporan motorsport.com, pelumba uji Augusto Fernandez dan Cal Crutchlow telah turun ke litar Valencia, Sepanyol bagi menguji kedua-dua unit enjin V4 itu. 

Sebelum ini, Yamaha dilaporkan akan beralih ke enjin V4 1000cc bermula musim 2026 sementara unit 850cc pula akan berkuatkuasa bermula musim 2027. 

Pengendali baharu Yamaha MotoGP, Paolo Pavesio juga telah memberi bayangan bahawa pasukan itu akan memperkenalkan enjin V4 sekiranya enjin baharu itu didapati lebih laju dari enjin sedia ada. 

Perkembangan terbaru ini secara langsung juga memberi bayangan kepada Yamaha bagi menghidupkan semula YZF-R1 yang telah dihentikan produksi ekoran peraturan emisi yang semakin ketat. 

Ini kerana pembangunan enjin V4 1000cc membuka jalan kepada Yamaha untuk menerokai peluang menghasilkan enjin baharu yang lebih bersih sekaligus menyaksikan R1 akan kembali ke jalan raya untuk pasaran global. 

Ekoran pelaksanaan Euro 5+, Yamaha telah pun  menghentikan produksi YZF-R1 serta YZF-R6 untuk beberapa pasaran dunia termasuk Eropah. 

Google ads
Back to top button