Buletin

INDUSTRI AUTOMOTIF THAILAND JADI TUMPUAN JENAMA CHINA, BERSAING SENGIT KETEPIKAN TOYOTA

Potensi industri automotif di Thailand semakin berkembang apabila jenama-jenama dari luar mula melabur dengan begitu banyak di negara gajah perang itu, terutamanya selepas mereka melihat pertumbuhan jualan serta menawarkan rantaian bekalan yang dibangunkan dengan baik.

Toyota antaranya begitu yakin dengan potensi industri automotif di Thailand dengan menggaji hampir 275,000 orang di sana. Ia dianggarkan menyumbang secara keseluruhan 32 peratus daripada baki FDI pada Mac 2022.

Tetapi perubahan struktur dalam industri kereta dan dalam ekonomi global menimbulkan persoalan tentang hubungan Jepun dengan Thailand. Khususnya, kebangkitan China serta pembuat kenderaan elektrik yang mahu memberikan persaingan hebat kepada Toyota di Thailand.

Pengeluar EV dari China, BYD, sebelum ini menandatangani perjanjian untuk membeli hampir satu kilometer persegi tanah di Rayong di mana ia dijangka beroperasi untuk mengeluarkan EV pada 2024. Menurut pemaju estet perindustrian Thailand, ia merupakan urus niaga terbesar syarikat itu dalam tempoh 25 tahun.

Urus niaga itu juga menjadikan China pelabur terbesar di Thailand untuk 2022, menyingkirkan Jepun buat kali pertama sejak 1994, menurut data yang dikumpulkan oleh JETRO. Malah, jenama China mendominasi pasaran EV di negara itu meskipun pasaran EV di Thailand hanya membentuk kurang daripada satu peratus.

Melihat kepada perkembangan tersebut, pada September 2022, Foxconn Taiwan mengumumkan bidaan untuk mengeluarkan EV di Thailand sekitar 2024.

Kebolehupayaan Thailand dalam menawarkan rantaian bekalan juga antara faktor banyak pengeluar kenderaan untuk memasuki pasaran negara itu. Meskipun menyedari pesaing dari negara jiran seperti Vietnam, Indonesia memberi ancaman hebat kepada mereka walaupun saingan tersebut datang dalam bentuk demografi.

Walau bagaimanapun, ramai pakar ekonomi melihat bahawa ekonomi Thailand lebih moden sejak 2014, ketika pilihan raya umum diadakan selain faktor kerajaan negara itu mengumumkan rancangan untuk mengeluarkan EV sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

Pelabur Jepun yang lain juga menaruh harapan besar untuk pasaran Thailand. Pada November, Sony mendedahkan rancangan untuk mengembangkan pengeluaran di kilang cip di utara Bangkok sebanyak 70 peratus serta meningkatkan bilangan pekerja kepada 3,000 daripada 1,000 menjelang fiskal 2024.

Sementara itu, Honda Motor pula mengumumkan pada November bahawa ia merancang untuk memulakan pengeluaran besar-besaran SUV elektrik sepenuhnya di Thailand pada 2023. Honda akan mengeluarkan kereta dan motosikal di Thailand, Indonesia serta India tetapi hanya mempunyai kemudahan penyelidikan dan pembangunan di Thailand.

Buat masa ini, Honda menjangkakan untuk meningkatkan keluaran EV secara beransur-ansur. Syarikat itu tidak boleh membuat pelaburan besar melainkan ia pasti akan mendapat pulangan mencukupi. Pembuat kereta itu telah berjanji kepada pelabur bahawa ia akan meningkatkan margin keuntungan operasinya kepada 7 peratus pada fiskal 2025 berbanding 5 peratus yang diunjurkan pada fiskal 2022.

Namun harus diingat bahawa Thailand juga mempunyai kekurangan untuk diambil kira terutamanya keluaran kenderaan elektrik daripada Toyota, BMW, Volvo dan Tesla kini berharga lebih dari AS429,000 (RM125,062) di Thailand, sama seperti sebuah apartmen di beberapa negara selain pengecas EV masih sedikit serta jauh di antara luar Bangkok. – Free Malaysia Today

Google ads
Back to top button