
ASICS HASILKAN KASUT SUKAN DARI BEG UDARA KITAR SEMULA – BIJAK SUNGGUH
Trend kitar semula kini cukup popular dalam industri automotif. Macam-macam komponen yang sudah dikitar semula tapi banyak lagi yang terbiar dan sukar untuk dikitar semula. Asics, satu jenama pakaian sukan ternama muncul dengan idea terbaru yang sangat bijak iaitu mengitar semula beg udara kenderaan untuk dijadikan kasut sukan.

Asics bekerjasama dengan Toyoda Gosei, sebuah syarikat Jepun untuk mengitar semula fabrik lebihan dari proses pembuatan beg udara yang biasanya dibuang begitu sahaja. Material ini sebenarnya cukup kuat, fleksibel dan sangat tahan lasak menjadikannya cukup ideal untuk menghasilkan bahagian atas kasut. Habis takkan nak guna untuk buat tapak kasut kot.
Model baharu ini dinamakan ‘Asics Gel-Sonoma 15-50” dan merupakan salah satu varian daripada rangkaian kasut larian trail Gel-Sonoma. Pereka kasut ini mengekalkan jahitan benang merah dan nombor-nombor yang dicetak sewaktu Toyoda Gosei menghasilkan beg udara dari material tersebut. Sentuhan akhir ialah imej beg udara pada bahagian ‘lidah’ kasut tersebut.

Berminat untuk memilikinya? Kalau kat Jepun ianya bakal dipasarkan dengan harga 16,500 yen (bersamaan dengan RM548.47). Ya, varian Asics yang ni tak murah tuan-tuan tapi memakainya memang akan membuatkan anda terasa yakin untuk berlari. Tanyalah mereka yang pernah memakainya kalau tak percaya. Jangan beli sekarang sebab ianya cuma akan dipasarkan bermula 26 Januari ini.
Ini bukan kali pertama Toyoda Gosei mengeluarkan produk dari material kitar semula. Sebelum ini mereka pernah menghasilkan beg, kotak pensel dan macam-macam produk lagi dari beg udara kitar semula di bawah jenama Re-S. Okey, jenama ni kami pun tak pernah dengar tapi Asics semua orang kenal. Kerjasama dua syarikat ini akan berterusan di masa akan datang. Jadi tunggulah produk-produk baharu dari mereka nanti.





