Buletin

HELIKOPTER ROBINSON R66 TURBINE TERHEMPAS. PILOT, PEMBANTU PILOT CEDERA

Sebuah helikopter persendirian jenis Robinson R66 Turbine terhempas di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pelabuhan Klang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Norazam Khamis yang mengesahkan kejadian itu berkata, dua mangsa yang menaiki helikopter terbabit cedera.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pada 10 pagi memaklumkan helikopter persendirian jenis Robinson R66 Turbine mendarat cemas dan terhempas di kawasan lapang di situ.

“Pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang diketuai Komander Operasi Kanan, Anas Ahmad Zabidi tiba di lokasi jam 10.22 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati ada helikopter terhempas seperti laporan diterima, bagaimanapun tiada kebakaran berlaku.

“Kejadian membabitkan hanya dua mangsa iaitu juruterbang dan pembantu juruterbang,” katanya.

Juruterbang, Khairudin Dahlan, 73, mengalami kecederaan di tangan kiri dan pembantu juruterbang, Moithu Kutti Mohamad, 53, pula mengalami luka-luka kecil, katanya.

“Kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil serta diberikan rawatan oleh pihak Ambulan Pelabuhan Barat,” katanya. – Harian Metro/JBPM

Google ads
Back to top button