Motosikal

HELIKOPTER K-RACER DIJANA ENJIN KAWASAKI NINJA H2R

Jenama Kawasaki mungkin dikenali sebagai pembikin jentera dua roda tersohor di seluruh dunia.

Begitupun, syarikat dari Jepun ini, Kawasaki Heavy Industries sebenarnya merupakan kuasa besar dalam bidang industri yang telah bertapak selama 124 tahun dengan hasil pendapatan pada tahun lalu mencecah AS$15 bilion (RM61 bilion).

Segmen enjin dan motosikal hanya menyumbang sebanyak AS$3.2 bilion (RM13 bilion)  sahaja daripada jumlah tersebut.

 Sistem tenaga dan loji kejuruteraan memperoleh AS$2.5 bilion (RM10 bilion) manakala bidang robotik dan mesin pula berjumlah AS$2.2 bilion (RM9 bilion).

Penyumbang utama empayar Kawasaki merupakan segmen sistem aeroangkasa dengan jumlah pendapatan mencecah AS$4.6 bilion (RM19 bilion).

Kawasaki membangunkan sejumlah kecil helikopter tentera dan awam serta enjin turbofan untuk pelbagai pesawat Airbus dan Boeing.

Terbaharu, gergasi dari Jepun ini membangunkan sebuah helikopter tanpa juruterbang dikenali sebagai Kawasaki Researching Autonomic Compound to Exceed Rotorcraft (K-Racer).

Menariknya tentang helikopter terbaharu ini, ia mendapat khidmat enjin supercharge Ninja H2R.

Didatangkan rotor di bahagian atas dengan diameter 4 meter, ia kelihatan sama seperti rotor helikopter yang biasa dilihat umum.

Begitupun, helikopter K-Racer ini tidak didatangkan dengan rotor di bahagian ekor tetapi memiliki dua kipas props pada sayap pendek yang mengendalikan pengawalan yaw jentera serta mengimbangi tork dari rotor utama.

Rekaan rotor itu juga berperanan untuk menjana tenaga bagi menggerakkan K-Racer jauh lebih pantas berbanding sebuah helikopter konvensional, sama seperti sebuah Ninja H2R.

Enjin ujian penerbangan dibangunkan Aerospace Systems Company tetapi dijana enjin supercharge daripada jentera Kawasaki Ninja H2R yang mempunyai kapasiti 998 cc DOHC.

Ia mampu menjana kuasa 310 hp pada 14,000 rpm dan tork 165 Nm pada 12,500 rpm.

Ketika sesi penerbangan ujian, K-Racer melakukan pelepasan menegak, berterbangan di kawasan Taiki-Cho Multipurpose Aerospace Park, Hokkaido, Jepun dan pendaratan secara menegak.

Kawasaki Heavy Industries berkata terdapat perancangan dalam menggunakan teknologi diperoleh daripada pembangunan helikopter K-Racer pada pembikinan helikopter berkelajuan tinggi.

Ia akan digunakan pada helikopter tanpa atau dipandu juruterbang. – agensi.

Google ads
Back to top button