Artikel PilihanBuletin

HIMPUNAN LAWAK APRIL FOOL DALAM DUNIA AUTOMOTIF – ANDA TERKENA? KAMI PUN!

Bulan April ni memang bulan yang paling tak best bagi Abang Japar, dah lah cuti umum tak ada, asyik kena main je dengan berita-berita palsu dari serata dunia. Yang menariknya, kini boleh pulak muncul siaran berita palsu dari syarikat-syarikat automotif terkenal. Buat penat je olah cerita yang kononnya menarik lagi sensasi.

Di sini kami senaraikan beberapa lawak (bodoh bulan April) dari syarikat-syarikat ternama yang tersebar ke seluruh dunia.

HELMET PERLUMBAAN UNTUK KUCING

Lotus antara yang buat pengumuman awal akan keluarkan topi keledar keselamatan untuk pelumba yang sukakan haiwan peliharaan-kucing. Dinamakan sebagai Lotus Pet Lid. Kepada penggemar kucing yang tak boleh tinggalkan haiwan kesayangan di rumah, boleh sarungkan helmet ni ke kepala kucing anda dan bawanya ke trackday di Sepang.

Ia cuma dijual sehingga 12 tengah malam 1 April dan memang jelas, tipu. Kalau naik Savvy Pak Amid kat Sepang bawak kucing tak payah pakai helmet pun tak apa. Bukannya laju pun.

LEXUS LANE VALET

Ini tak ada kena mengena dengan khidmat Valet Doa tu. Ia kononnya merupakan satu sistem canggih yang akan mengatasi masalah kereta bergerak perlahan yang menghalang laluan tengah untuk kenderaan bergerak laju.

Lexus Lane Valet merupakan sistem teknologi komunikasi kenderaan-kepada-kenderaan yang mampu mengarahkan kenderaan di hadapan bergerak ke tepi dan memberi laluan kepada anda.

Mungkin pada suatu masa akan datang sistem ini bakal wujud tetapi mungkin ia akan menimbulkan persoalan. Apa hak anda untuk mengarahkan kenderaan lain memberi laluan? Silap-silap saja je kena maki dengan makcik dalam Myvi yang kena bagi laluan tu.

HON EMOJI HONDA

Ini lagi satu lawak yang menyakitkan hati. Abang sampai tak sempat nak makan apam balik pasar malam yang baru beli sebab nak siapkan berita yang menarik ni tapi rupanya kena main dengan Honda.

BACA: HONDA PERKENAL HON EMOJI

Ia kononnya merupakan sistem hon bertona yang mampu menggambarkan emosi seseorang pemandu pada ketika ia diaktfikan. Malah lengkap dengan klip video yang memaparkan pelbagai butang emoji pada roda stereng.

Antara emosi yang dipaparkan ialah kegembiraan, kekecewaan, kehampaan dan sebagainya.

Akhirnya apa yang abang dapat? Kehampaan sebab anak bongsu dah habiskan apam balik telur dan rasa marah sebab kena tipu.

BALUTAN BULU BURUNG MCLAREN 570GT

Ini pula berita yang menyebabkan kita merasa berbulu selepas mengetahui yang ia berita palsu. McLaren dikatakan telah menghasilkan sebuah 570GT yang paling aerodinamik dengan mengambil ilham daripada haiwan yang mempunyai bentuk paling aerodinamik. Apa lagi kalau bukan seekor burung.

Untuk itu McLaren telah mengenakan kemasan bulu-bulu burung tiruan pada sebuah 570GT terbaru mereka. Kemasan itu dikatakan menggunakan sejumlah 10,000 helaian bulu burung rekaan yang dihasilkan daripada material gentian karbon.

Selepas ditempah, bila ia akan dihantar kepada anda? Semestinya pada tanggal 1 April!

FATE OF THE FURIOUS/XFINITY DRIVE-OUT CINEMA

Ini lagi gila punya idea. Syarikat telekomunikasi Xfinity di Amerika Syarikat telah bekerjasama dengan pasukan produksi Fate and the Furious untuk “prank” beberapa peminat filem ini yang kononnya telah dipilih untuk menyaksikan beberapa adegan menarik filem yang belum ditayangkan.

Walaupun mereka merasa ragu-ragu tetapi masih cukup sporting bila diarahkan agar menonton filem tersebut dari dalam dua buah kereta yang sama seperti terdapat di dalam filem tersebut.

Sebaik tayangan dimulakan, penonton yang berada ditempat duduk pemandu mula memecut kereta-kereta tersebut dan mula meniru aksi-aksi stunt seperti yang terdapat dalam filem tersebut. Mereka dibawa kejar-mengejar dalam set yang sama dengan digunakan di dalam filem tersebut lengkap dengan aksi letupan dan kesan khas lain.

Pemandu-pemandu kereta tersebut sebenarnya ialah penyelaras stunt untuk filem tersebut, Oakley Lehman dan pelumba drift professional Ken Gushi.

HYUNDAI – CLICK TO FLY

Sistem dah macam Lazada ni. Perkhidmatan beli kereta Hyundai secara dalam talian dengan nama Click To Buy.

Hyundai UK mengumumkan akan sediakan perkhidmatan kepada pembeli di sana. Beli kereta dan ia akan dihantar menggunakan dron yang berkuasa hidrogen fuell cell. Hyundai berjanji akan menghantar kereta anda dalam masa dua jam sahaja.

Tapi hanya pada tarikh 1 April. Hampeh.

BACA: SYARIKAT CHINA SAMAN MERCEDES, KELAKAR KAN?

BACA: LUCU, PELUMBA JEPUN DENGAN KERETA KECIL

Google ads
Back to top button