Buletin

HONDA ACCORD 2021, SAMA TETAPI TIDAK SERUPA

Honda Accord generasi kesepuluh pertama kali diperkenalkan pada tahun 2017 di Amerika Syarikat dan pasaran tempatan pada Februari 2020.

Sedan segmen D ini tidak menunggu lama untuk popular dan pada Ogos 2020 Honda Malaysia mengumumkannya sebagai peneraju segmen dengan penguasaan pasaran sebanyak 40 peratus.

Kini tahun ketiga di pasaran, Honda memperkenalkan Accord 2021 di Amerika Syarikat.

Sebagai sebuah Honda, tidak banyak perbezaan ketara pada bahagian luaran dan peningkatan ditumpu untuk menjadikan Accord 2021 terus relevan di pasaran.

Bahagian depan masih menggunakan gayaan sama kecuali gril yang dibesarkan dan tiga garisan krom melintang. Perumah lampu kabus juga baharu manakala lampu depan berbeza pada jarak nyalaan bawah dan tinggi.

Honda tidak bermain dengan gayaan agresif dan cukup supaya nampak kemas dan segak.

Dari tepi, Accord varian  LX, EX-L dan Touring menerima roda aloi corak baharu. Secara keseluruhannya ada tiga corak roda baharu dari saiz 17 hingga 19 inci.

Bahagian belakang pula lebih ringkas dengan bampar tanpa perumah ekzos warna krom. Honda hanya menggunakan pendakap krom pada kedua sisi bawah bampar.

Memasuki bahagian dalam, skrin sentuh lapan inci kini menjadi kelengkapan standard untuk semua varian. Slot USB depan dialihkan ke bahagian depan konsol tengah untuk akses lebih mudah.

Juga standard untuk kesemua varian ialah Peringatan Kerusi Belakang supaya pemandu memeriksa bahagian penumpang sebelum meninggalkan kereta.

Menggerakkan Accord 2021 ialah beberapa pilihan enjin seperti 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 192 hp dan tork 260 Nm dan dipadan bersama transmisi CVT.

Satu lagi pilihan ialah 2.0 liter VTEC Turbo 252 hp dan tork 273 Nm dengan padanan transmisi sepuluh kelajuan automatik.

Perisian pengurusan untuk kedua-dua enjin turbo telah ditala semula  untuk kawalan pendikit yang lebih linear dan responsif.

Honda tidak melupakan rangkaian kuasa mesra alam dan menawarkan teknologi sistem dua motor hibrid dengan enjin 2.0 liter i-VTEC. Kombinasi tersebut menghasilkan output kuasa 212 hp dan tork 315 Nm.

Untuk kelengkapan keselamatan, Accord Touring dan Hybrid Touring didatangkan dengan sistem pembrekan depan dan belakang iaitu Kawalan Brek Kelajuan Rendah.

Menggunakan sensor parkir sonar, sistem tersebut berupaya mengesan objek ketika kelajuan rendah seperti dalam operasi meletak kereta dan memberi amaran kepada pemandu untuk membrek bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Teknologi Honda Sensing® turut menerima peningkatan bagi sistem Kawalan Suai Pandu (ACC) dan Sistem Bantuan Pengekalan Laluan (LKAS).’

ACC untuk model 2021 mempunyai pembrekan lebih lancar apabila berada di belakang kenderaan lain. LKAS pula membantu dalam pengekalan susur dengan lebih efektif.

Berkenaan harga, Honda Accord 2021 dijual dari $25,725 (RM106,900) bagi varian Accord LX 1.5T/CVT. Varian paling premium iaitu Accord Touring 2.0T/10AT pula berharga $37,655 (RM156,475).

BACA: PADA 1997 HONDA DOMANI MB3 DIPERKENAL (MACAM CIVIC EK)

BACA: HONDA FIT B-SPEC CONCEPT DARI HPD UNTUK LITAR LUMBA

BACA: HONDA RIDGELINE DENGAN GEAR AUTO 9 KELAJUAN!

Google ads
Back to top button