Buletin

PADA 1997 HONDA DOMANI MB3 DIPERKENAL (MACAM CIVIC EK)

Jika diperhatikan dalam dunia ubah suai Honda Civic EK, ada pemilik yang menggunakan komponen Honda Domani dan dari mana datangnya model itu? Adakah satu daripada varian Civic? 

Domani bukan varian Civic tetapi model sendiri sepenuhnya dan mempunyai dua generasi dengan yang pertama mula dijual di Jepun pada 4 November 1992.

Domani generasi kedua pula dijual di Jepun 31 Januari 1997.

Lagi soalan yang ingin ditimbulkan ialah kenapa komponen Domani boleh digunakan pada Civic?

Ini kerana Domani diasaskan dari Civic EK dan lebih menarik apabila Domani dijenamakan semula sebagai Acura EL dan hanya dijual di Kanada.

Untuk reka bentuk luar, Domani berbeza dengan Civic pada lampu depan dan belakang serta bampar kedua-dua bahagian.

Bahagian dalam kedua-dua model pula menggunakan komponen sama. Cuma Domani nampak mewah dengan kemasan ira kayu pada bahagian konsol gear dan suis tingkap berkuasa.

Domani dibangunkan dengan konsep sedan gred tinggi dan berkelas yang menampakkan gaya elegan.

Jika Civic tampil sporti dengan EK9 Type R, Domani pula kekal sebagai sedan eksekutif.

Menggerakkan Domani ialah enjin 1.5L SOHC (15E), 1.6L SOHC (16G dan 16G 4WD) dan 1.6L SOHC VTEC-E (16X).

1.6L SOHC VTEC-E

Untuk transmisi, varian 15E, 16G dipadan bersama transmisi empat kelajuan automatik dengan mekanisma lock-up dan multimatic bagi 16X.

Varian 16G 4WD menggunakan transmisi empat kelajuan automatik 2WAY dengan mekanisma low hold.

Selain itu, varian 15E, 16G, 16G 4WD turut ditawarkan dengan transmisi lima kelajuan manual.

Dari segi keselamatan kesemua varian Domani dilengkapi dua beg udara dan sistem brek ABS sebagai ciri standard untuk 16X dan pilihan ekstra bagi varian lain.

Juga bergantung kepada varian, pembeli ditawarkan dengan Sistem Navigasi Honda dan bumbung matahari.

Semasa pelancaran, Honda mensasarkan untuk menjual 1,500 unit Domani sebulan di Jepun.

Domani dalam bahasa Itali bermaksud esok dan model ini dikeluarkan sehingga dua generasi. 

Tahukah anda model manakah yang menggantikan Domani selepas itu? Honda Fit Aria atau dikenali sebagai Honda City di negara kita.

BACA: HONDA FIT B-SPEC CONCEPT DARI HPD UNTUK LITAR LUMBA

BACA: PADA 2006 HONDA STREAM GENERASI KE-2 DIPERKENAL (MALAYSIA PUN ADA)

BACA: HONDA RIDGELINE DENGAN GEAR AUTO 9 KELAJUAN!

Google ads
Back to top button