Buletin

HONDA ADV160 MASUK AMERIKA, RM20.7 RIBU!

Penawaran motosikal Honda di Amerika Syarikat (AS) memang menarik dengan pelbagai model seperti Grom, Super Cub, Shadow, Africa Twin dan banyak lagi termasuk super bike Fireblade SP.

Walaupun sering ditonjolkan dengan motosikal chopper, masih ada ruang untuk model lain sebagai contoh skuter ADV150 yang diperkenalkan pada 2020.

Seperti pasaran lain di Asia, Honda memperkenalkan model baharu ADV160 dan kini turut ditawarkan di Amerika Syarikat.

Honda ADV150 2020

Sekali pandang nampak sama namun kedua-dua ADV150 dan ADV160 mempunyai perbezaan ketara. Paling jelas enjin 156.9cc eSP+ menggantikan enjin 149.3cc terdahulu.

Enjin itu lebih berkuasa dan teknologi eSP+ menjadikannya lebih cekap dan mengurangkan kadar pelepasan emisi.

Honda telah mengoptimumkan sistem ambilan udara dan ekzos dan menawarkan daya kilas bersesuaian pada julat rendah dan sederhana bagi membantu penunggang melalui permukaan jalan yang berbeza.

Bahagian peredam ekzos mempunyai struktur paip dan lokasi pemangkin (catalyzer) dioptimumkan bagi meminimumkan pelepasan emisi dan memberikan prestasi yang baik.

ADV160 juga canggih dengan teknologi cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang biasanya dilengkapi pada model lebih berkuasa.

Satu lagi ciri yang nampak sama tetapi berbeza ialah pelana ADV160 lebih rendah atau dikurangkan sebanyak 0.6 inci kepada 30.1 inci.

Bersama pelana rekaan baharu, kaki penunggang lebih mudah untuk menyentuh permukaan jalan.

Supaya sepadan dengan pelana baharu, Honda turut menurunkan hendal bagi mengekalkan keselesaan tunggangan.

Dari segi praktikaliti, ruang simpanan bawah pelana ditambah 2 liter kepada 30 liter dan skrin LCD direka semula untuk mendapatkan maklumat dengan lebih mudah.

Panel badan juga langsung berbeza dan Honda turut membesarkan bahagian pelindung kaki dan penghadang angin kini lebih tinggi.

ADV160 dilengkapi sepit udang teleskopik Showa dengan ukuran 31mm dan mempunyai jarak gerakan 5.1 inci. Suspensi belakang juga dari Showa dengan takungan (piggyback) dan jarak gerak 4.1 inci.

Brek depan dilengkapi sistem ABS dengan cakera 240mm dan brek gelendong 131 mm di belakang dan berbeza untuk ADV160 tempatan yang dipasang brek cakera pada kedua-dua bahagian.

Ruang roda diisi tayar saiz 110/80-14 di depan dan 130/70-13 di belakang. 

ADV160 pasaran tempatan meriah dengan grafik dan warna badan Mat Charcoal Grey Metallic dan Vivacity Red manakala model AS ditawarkan dalam tema ringkas Red Metallic dan Pearl Smoky Gray.

Harga yang disyorkan ialah AS$4,499.00 (RM20,765).

Google ads
Back to top button