LEBIH 3.5 JUTA SIRI HONDA N LAKU DI JEPUN, N-BOX SAHAJA 2.3 JUTA UNIT!
Kereta berkotak Honda N-BOX adalah satu daripada siri Honda N di Jepun. Ada tiga lagi model iaitu N-ONE, N-WGN dan N-VAN.
Tahukah anda? Siri Honda N begitu laris di Jepun dan jualan setakat Mac 2023 telah pun melebihi 3.5 juta unit!
Perjalanan empat sekawan itu bermula pada Disember 2011 selepas generasi pertama N-BOX diperkenal di Jepun.
N-BOX sememangnya cemerlang dan jualan pada tahun fiskal 2022 (April 2022 hingga Mac 2023) mencecah 204,734 unit (jualan kereta baharu dan pendaftaran) dan menduduki takhta model terlaris di Jepun.
Pencapaian itu adalah tahun kedua berturut-turut untuk jualan kereta baharu dan berterusan selama lapan tahun bagi kategori kei-car (kereta mini).
Pembangunan siri N bermula dengan idea untuk menghasilkan kenderaan baharu terbaik untuk Jepun dan terus dikembangkan selepas N-BOX generasi pertama.
Generasi kedua siri N bermula selepas N-BOX baharu dilancarkan pada September 2017 dan canggih dengan teknologi bantuan pemanduan Honda Sensing.
Walaupun dalam segmen kei-car, Honda tetap mengaplikasi konsep M/M (Man Maximum/Machine Minimum) pada N-BOX.
Pada era elektrifikasi sekarang ini, Honda merancang untuk melancarkan kenderaan komersial ringan elektrik baharu yang diasaskan dari N-VAN pada 2024.
Berikut jualan siri Honda N dari 2011 hingga tahun fiskal 2022:
- Jualan keseluruhan: 3,523,285
- N-BOX: 2,368,450 unit (model terlaris!)
- N-ONE: 296,476 unit (sejak 2012)
- N-WGN: 687,812 unit (sejak 2013)
- N-VAN: 170,547 unit (sejak 2018)
Fakta siri Honda N:
- Disember 2011: N-BOX generasi pertama dilancarkan
- November 2012: N-ONE generasi pertama dilancarkan
- 2013: Jualan melebihi 500,000 unit
- November 2013: N-WGN generasi pertama dilancarkan
- Disember 2014: N-BOX SLASH dilancarkan
- 2016: Jualan melebihi 1.5 juta unit
- September 2017: N-BOX generasi kedua dilancarkan
- 2018: Jualan melebihi 2 juta unit
- Julai 2018: N-VAN generasi pertama dilancarkan
- November 2018: N-WGN generasi kedua dilancarkan
- 2019: Jualan melebihi 2.5 juta unit
- November 2020: N-ONE generasi kedua dilancarkan
- 2021: Jualan melebihi tiga juta unit
- Mac 2023: Jualan melebihi 3.5 juta unit!
BACA: HONDA N-BOX CUSTOM STYLE + BLACK, GAYA LEBIH PREMIUM!
BACA: HONDA CL500 DIPERKENAL DI JEPUN, GAYA SCRAMBLER, RM28.6 RIBU