Buletin

SUV MITSUBISHI BAKAL DILANCAR DI INDONESIA, XFC CONCEPT DALAM BENTUK PRODUKSI

Pada Oktober 2022 Mitsubishi telah memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak XFC CONCEPT di Pameran Kenderaan Vietnam. SUV itu dijadual untuk ditawarkan di negara Asean pada tahun ini.

Terbaru Mitsubishi memaklumkan sebuah SUV kompak baharu akan dilancarkan di Pameran Kenderaan Antarabangsa GAIKINDO ke-30 pada Ogos depan. 

Walaupun tidak memberikan nama, berkemungkinan tinggi model yang dimaksudkan ialah versi produksi XFC Concept.

Model itu adalah SUV baharu pertama Mitsubishi yang akan memasuki pasaran Asean dan satu daripada kawasan perniagaan utama syarikat.

Berdasarkan XFC Concept dan gambar terbaru yang dikongsi, SUV itu membawakan evolusi rekaan Dynamic Shield dan lampu yang menyerlah dengan bentuk T.

Lagi maklumat rasmi yang dikongsi seperti senang dikendalikan, ruang simpanan versatil, keselesaan dan ruang kabin yang luas.

Dimensi sebenar belum dikongsi namun ciri yang dinyatakan seperti ruang simpanan dan kabin yang luas bukan sifat yang sinonim untuk sebuah SUV kompak. 

Mitsubishi sebenarnya sudah membuktikan perkara tersebut boleh dilakukan melalui Xpander yang hadir berbeza dengan pesaing di dalam segmen kenderaan pelbagai guna (MPV).

Satu lagi ciri menarik yang dikongsi ialah SUV itu diuji dan ditala di persekitaran jalan Asean dan dikatakan berupaya mengharungi permukaan jalan yang kasar atau dibanjiri hujan lebat.

Ciri-ciri tersebut bukan asing kerana Mitsubishi mempunyai warisan yang panjang di dalam membangunkan kenderaan lasak.

Dengan ciri praktikal dan versatil yang dibekalkan, Mitsubishi tidak melupakan aspek kemewahan dan SUV kompak itu dilengkapi Dynamic Sound Yamaha Premium.

Sistem itu ditala khas mengikut karakteristik kabin dan menghasilkan kualiti bunyi premium untuk dinikmati pemandu dan penumpang.

Kesimpulan dari maklumat yang diberikan ialah Mitsubishi benar-benar mengkaji segmen SUV kompak dan hadir dengan keistimewaan tersendiri dan bukan setakat mahu bersaing.

Segmen SUV kompak memang sengit dengan adanya Toyota Raize, Daihatsu Rocky, Honda WR-V, Kia Sonet dan Nissan Magnite.

BACA: MITSUBISHI EK SPACE 2023 DIPERKENAL DI JEPUN, DARIPADA RM51.6 RIBU!

BACA: KITAB MITSUBISHI EVOLUTION – JILID 2

BACA: MITSUBISHI OUTLANDER PASARAN CHINA, ENJIN KECIL 1.5 TURBO MILD HYBRID!

Google ads
Back to top button