HONDA CBR600RR KEMBALI KE PASARAN EROPAH SELEPAS 6 TAHUN – 119HP, 63Nm
Segmen ‘supersport’ 600cc semakin tenggelam beberapa tahun ini ekoran peraturan emisi yang semakin ketat.
Yamaha telah pun menghentikan pengeluaran YZF-R6 – dan hanya menghasilkan model untuk litar lumba – sementara Honda CBR600RR pula tidak dibenarkan di jual di Eropah ekoran tidak mencapai standard emisi Euro 5.
Kawasaki merupakan satu-satunya pengeluar Jepun yang mengemaskini jentera 600cc mereka apabila melancarkan Ninja ZX-6R baharu awal tahun ini.
Bagaimanapun, Honda kembali menceriakan peminat ketika di EICMA 2023 pada November lalu apabila memperkenalkan CBR600RR yang telah dikemas kini dengan enjin yang lebih bersih sekaligus mencapai standard Euro5.
Menurut Honda, CBR600RR ini mengekalkan DNA yang sama seperti sebelumnya namun telah dipertingkat dengan teknologi yang diinspirasikan dari MotoGP.
Pertamanya, model 2024 ini hadir dengan IMU 6-axis yang merangkumi ‘lean-sensitive ABS’ dan ‘traction control’ termasuk ‘rear wheel lift control’. Sistem ‘throttle-by-wire’ pula menawarkan lima mod menungang termasuk sembilan peringkat HSTC (Honda Selectable Torque Control). Model ini turut dipertingkat dengan ‘steering damper’ secara standard selain daripada klac ‘slipper’ dan ‘quickshifter’.
Dari aspek prestasi, Honda CBR600RR 2024 ini dipacu enjin 599cc 4-inline yang telah dipertingkat dan menghasilkan 119hp pada 14,250rpm dan 63Nm pada 11,500rpm.
Casis pula digantung dengan fork ‘inverted’ Showa Big Piston di depan yang dipadankan bersama Showa Pro-Link di belakang. Tidak ketinggalan, generasi baharu ini juga hadir dengan ‘winglet’ aerodinamik.
Setakat ini belum ada pengumuman sama ada model ini akan dipasarkan di Malaysia namun kami akan membawakan perkembangan mengenai model ini dari masa ke masa.
GALERI: