
HONDA CITY DIBUKA UNTUK TEMPAHAN
Honda Malaysia memperkenalkan model sedan popularnya, City pada majlis Penghargaan Media 2014, semalam.
Sejak diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada tahun 2003, City pantas menjadi model kegemaran rakyat Malaysia. Popularitinya menjadikan Honda sebagai salah satu jenama automotif utama di sini.
Sedan segmen B yang bakal menjengah pasaran pada bulan depan itu ditawarkan dalam empat varian iaitu S, S+, E dan V. Kesemuanya akan menggunakan khidmat enjin empat silinder 16 injap SOHC i-VTEC. Bersesaran 1.5 liter, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 120PS @ 6,600 dan tork maksimum 145Nm @ 4,600rpm.
Enjin itu kemudian dipadankan bersama tranmisi CVT yang dibangunkan di bawah teknologi Earth Dreams Honda. Sekali gus menggantikan kotak gear konvensional lima kelajuan yang digunakan pada model City terdahulu.
Sebagai model serba baharu, City dilengkapi pelbagai ciri menarik. Antaranya termasuklah enam beg udara, sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, Vehicle Stability Assist (VSA), ISOFIX, Cruise Control dan banyak lagi. Pastinya ciri tersebut bergantung kepada varian yang anda pilih nanti.
Harus tahu juga bahawa City merupakan model pertama Honda Malaysia yang mengadaptasi konsep H Design. Ia mengetengahkan falsafah reka bentuk ‘Human Center’ yang memberi fokus kepada pemandu dan penumpang.
Pakej reka bentuk City juga menyaksikan evolusi falsafah “Manusia Maksimum, Mesin Minimum” ke tahap seterusnya. Ruang dalaman telah dimaksimumkan untuk menawarkan keselesaan terbaik kepada pemandu dan penumpang. Ruang kabin belakang adalah yang paling luas dalam segmennya.
Honda Malaysia yakin bahawa City akan menjadi sedan permulaan yang ideal di pasaran Malaysia menerusi harganya yang kompetitif. Jika mahu melihatnya dengan lebih dekat, kunjungi enam lokasi pameran seperti jadual di bawah.
Jika berminat, City sudah dibuka untuk tempahan di semua 73 pengedar Honda di seluruh negara. Tunggu apa lagi?












