Buletin

HONDA STEP WGN SPADA DENGAN AKSESORI HONDA ACCESS 2025

Rupa-rupanya usia Honda STEP WGN generasi keenam bakal menghampiri usia tiga tahun selepas dilancarkan secara rasmi di Jepun pada 27 Mei 2022.

Sebulan selepas pelancaran, Step Wgn menerima sambutan hangat dengan tempahan melebihi 27,000 unit!

Menghampiri usia tersebut, Honda Access mendedahkan aksesori tulen STEP WGN lebih awal sebelum penjualan secara rasmi pada Mei 2025.

Aksesori tulen untuk STEP WGN SPADA menampilkan tema baharu Emotional Black Solid dan evolusi daripada Emotional Solid sebelum ini.

Kit baharu ini membawa kemas kini warna dan reka bentuk untuk tampil lebih segar dan menonjol.

Jeriji hadapan dan kemasan lampu kabus (dengan lampu pancaran LED) kini hadir dengan kemasan hitam berkilat. Nampak ringkas namun menyerlah.

Turut diperkenal emblem hitam krom yang menonjolkan lagi imej anggun dan misteri jika digunakan pada STEP WGN berwarna gelap.

Di Jepun, STEP WGN dibahagikan kepada varian utama berikut:

  • STEP WGN AIR
  • STEP WGN AIR e:HEV
  • STEP WGN SPADA
  • STEP WGN SPADA e:HEV
  • STEP WGN SPADA PREMIUM LINE
  • STEP WGN SPADA PREMIUM LINE e:HEV

Honda juga turut menawarkan varian untuk kerusi roda dan kerusi boleh boleh angkat keluar (lift-up).

Di dalam dunia elektrifikasi, STEP WGN masih mengekalkan enjin 1.5 liter VTEC Turbo seiring dengan model hibrid e:HEV.

Enjin turbo dipadan bersama kotak gear CVT dan menghasilkan 150 ps pada 5,500 rpm dan tork 203Nm dari 1,600 hingga 5,000 rpm.

Model e:HEV menggabungkan enjin 2.0 liter i-VTEC dengan dua motor elektrik dan transmisi eCVT.

Enjin menghasilkan 145 ps pada 6,200 rpm dan tork 175Nm pada 3,500 rpm. Motor elektrik memiliki kuasa 135 kW (184 ps) dan tork 315Nm.

Pilihan pacuan dua roda (FF) dan empat roda (4WD) untuk model turbo sahaja dan hibrid hanya dengan pacuan FF.

Seperti kenderaan pelbagai guna (MPV) Jepun lain, STEP WGN mempunyai pilihan tujuh atau lapan tempat duduk.

Varian asas STEP WGN AIR ditawarkan pada harga 3,169,100 yen (RM98,093) dan sehingga 4,066,700 yen (RM125,852) untuk varian teratas STEP WGN SPADA PREMIUM LINE e:HEV.

Kepada yang berkenan, versi recond STEP WGN generasi keenam sudah dibawa masuk dan ditawarkan pada lingkungan harga RM176,000.

Google ads
Back to top button