Artikel PilihanPandu Uji

HONDA CIVIC GEN 10 – SEDAN DINAMIK UNTUK MEREKA YANG BERJIWA MUDA

Honda pernah memasarkan sebuah model yang dinamakan Honda 1300 dan sambutan yang diterima suam-suam kuku menyebabkan Honda menimbang untuk menarik diri daripada industri automotif.

Dengan kos pembangunan dan pemasaran yang mahal, selain jualan yang tidak memberansangkan, jalan yang paling baik ialah berhenti sebelum mengalami kerugian yang lebih besar.

Namun terima kasih di atas pelancaran Honda Civic pada tahun 1972, ia memberikan sinar pada Honda agar terus kekal bersaing dalam industri automotif.

Dilancarkan pada tahun 1972, Honda Civic merupakan sebuah model kompak 3 pintu yang memuatkan 5 penumpang. Dikuasakan oleh enjin 4 silinder 1169cc, ia pantas diterima dengan baik oleh pasaran dunia pada waktu itu.

Geopolitik dunia pada masa itu diwarnai oleh pergolakan dan peperangan antara Liga Arab dengan Israel dan sekutunya. Ini menyebabkan embargo petroleum dikenakan ke atas negara-negara seperti Kanada, Amerika, United Kingdom, Jepun dan Belanda.

Kesannya amat ketara dan harga petroleum melonjak dari AS$3 kepada AS$12 setong. Sudah tentu harga yang dijual pada pengguna meningkat dengan sangat drastik.

Honda Civic pada itu mempunyai keupayaan untuk menggunakan petrol berplumbum atau tanpa plumbum serta dilengkapi dengan teknologi CVCC yang membolehkan penjimatan bahan api dicapai.

Di samping melepasi paras kualiti udara Amerika tanpa perlu menggunakan catalytic converter. Dalam masa 5 bulan sahaja, 11,000 unit terjual dan pada tahun 1973 sebanyak 80,000 unit telah terjual.

Civic menjual ciri-ciri yang unik yang ada padanya iaitu penjimatan bahan api (17km/liter) pada zaman petrol sangat mahal, harga jualan cuma AS$2,200 (RM9,200) dan ruang penumpang yang besar.

Kos pengeluaran CVCC yang murah membolehkan Honda menjual Civic pada harga yang amat rendah kepada pengguna. Honda juga menjual teknologi CVCC kepada pengeluar kereta Amerika yang masih terkial-kial untuk melepasi standard pelepasan emisi.

Tidak cukup dengan itu, pada tahun 1984 Honda memulakan usaha inovasi enjin baru yang sinonim dengan Honda iaitu VTEC. Pada tahun 1989, barulah enjin VTEC dipasarkan secara meluas.

Ia bagaikan memiliki dua enjin dalam satu kereta. Enjin yang menjimatkan jika anda memandu santai dan enjin yang berkuasa jika anda mahukan pada bila-bila masa. Honda mampu mengekstrak 160 kuasa kuda daripada enjin 1,600cc satu angka yang cukup menakjubkan pada tahun 1989.

Pada hemat penulis, segmen kereta sedan sebenarnya masih lagi relevan. Sedan mampu menawarkan ruang kargo besar, dinamik pengendalian lebih baik disebabkan kedudukan pusat graviti yang rendah, aerodinamik lebih bagus, menggunakan tayar yang lebih kecil dengan pekali seretan yang lebih rendah.

Ini  sekali gus menawarkan penggunaan petrol yang lebih rendah. Malah harga yang ditawarkan oleh sedan juga biasanya lebih murah.

Berbeza model generasi ke-9, model Civic FC direka oleh pasukan rekaan Honda yang berpangkalan di Amerika Utara. Rekaan luarannya diketuai oleh Guy Melville-Brown.

Guy yang mempunyai pengalaman kerja di Citroen, Peugeot, Fiat dan Volkswagen membawa rekaan “fastback” kepada Civic generasi ke-10s ini. Rekaan “fastback” menampilkan garisan tunggal bermula dari bumbung kereta dan berakhir di bahagian belakang seperti lampu.

Selain nampak lebih agresif dan sporti, rekaan sebegini mempunyai kelebihan dari segi aerodinamik.

Bahagian depannya menampilkan rekaan grill “Flying H” yang diapit dengan lampu teknologi LED (bagi varian 1.5 (TCP). Rekaan ruang enjin yang rendah dan lebar, diikuti oleh ruang kabin yang sedikit tinggi dan berakhir dengan rekaan fastback pada bahagian belakang.

Rekaan ini nampak klasik, sporty dan elegan. Bagi menyempurnakan rekaan ini, jarak antara roda telah diubah menjadi 2,700mm berbanding 2,650mm pada Civic generasi ke-9. Ini menjadikan keseluruhan reka bentuk Civic lebih panjang, lebar, tetapi rendah berbanding model sebelumnya.

Sistem cesi merupakan satu lagi kelebihan yang ada pada Honda Civic. Ia mengaplikasikan sistem Topang McPherson pada roda depan dan suspensi bebas pelbagai sambungan (MultiLink – minima 5 sambungan) pada roda belakang.

Kombinasi suspensi ini sama seperti yang digunakan oleh jenama terkenal dari Jerman. Ia menawarkan dinamik pemanduan yang lebih meyakinkan di selekoh dan selesa ketika melalui jalan yang tidak rata.

Ruang kargo berkapasiti 519 liter itu jauh lebih besar daripada pesaing terdekatnya dengan 470 liter yang menggunakan suspensi jenis torsion beam.

Enjin L15B7 yang dipasang pada Honda Civic terbaru digandingkan dengan sistem turbo dan pancitan terus bahan api. Sistem SOHC telah diketepikan dan digantikan dengan sistem DOHC lengkap dengan sistem dual VTC (Variable Timing Control) seperti dual VVTi pada Toyota.

Tapi jangan terkejut, walaupun menggunakan logo VTEC, sebenarnya tiada mekanisma VTEC dalam enjin ini. Enjin ini merupakan kesinambungan K20 tetapi dalam sesaran yang lebih rendah.

Dalam K20, mekanisma i-VTEC adalah gandingan VTEC dan VTC. Namun bagi enjin ini, Honda mengekalkan perkataan VTEC kerana VTC adalah sebahagian dari VTEC.

Gandingan pendesak turbo dan sistem pancitan bahan api terus membolehkan enjin ini mengekstrak 170 kuasa kuda dan 220Nm tork setara dengan enjin K24 iVTEC yang bersesaran 2400cc.

Akur dengan tekanan kawalan pencemaran udara, turbo adalah pilihan terbaik bagi Honda untuk menghasilkan enjin yang berkuasa, pada masa yang sama menjimatkan petrol.

Mekanisme (VTC) dipasang pada aci sesondol kemasukan dan ekzos bagi membolehkan enjin ini mengubah pemasaan dan melakukan proses mengitar semula asap ekzos (EGR) dengan tujuan mengurangkan suhu kebuk pembakaran serta pembentukan Nitrogen Oksida.

Masalah apabila menggunakan sistem turbo ialah penghasilan haba yang berlebihan yang boleh menjejaskan prestasi enjin terutama sekali knocking (ketukan).

Bagi mengatasi masalah ini, kepala silinder enjin telah direka dengan sistem penyejukan khas untuk menyejukkan ‘manifold’ ekzos. Sekali gus meningkatkan kecekapan enjin.  Walaupun sangat berkuasa, enjin ini mampu bergerak sejauh 17.2km bagi setiap satu liter petrol.

Sekiranya anda tidak berminat dengan enjin turbo, pilihan lain yang ada ialah enjin R18A 1800cc SOHC i-VTEC. Enjin ini menghasilkan 139 kuasa kuda dan 174Nm tork.

Ia mampu bergerak sejauh 15.87km bagi setiap satu liter petrol. Kedua dua pilihan enjin ini digandingkan dengan transmisi CVT yang dibangunkan sendiri oleh Honda.

Transmisi CVT Honda ini digandingkan dengan “torque converter” yang menjanjikan menghasilkan pecutan lancar dan beroperasi secara harmoni dengan enjin.

Istimewa untuk varian 1.5 Turbo ialah ia datang dengan unit kawalan gear “paddle shift” yang dipasang pada roda stereng.

Ciri-ciri istimewa yang ada pada Honda Civic termasuklah:

1. Brek cakera sejukan udara pada roda depan dan brek cakera di belakang memberikan prestasi brek yang padu.

2. Penggunakan teknologi brek parkir elektrik pada semua varian membolehkan ruang konsol tengah dikosongkan daripada brek tangan mekanikal.

3. Varian TCP menawarkan lampu utama dan lampu kabus depan LED yang cukup terang pada waktu malam. Varian lain menggunakan lampu halogen dengan teknologi projektor.

4. Enjin semua varian boleh dihidupkan dari jauh menggunakan kunci kawalan, bagus untuk menyejukkan ruang kabin lebih awal, terutama pada dengan cuaca panas terik.

5. Semua varian menawarkan fungsi pelayaran halaju automatik, sekali gus mengurangkan penat untuk perjalanan jauh.

6. Honda Civic didatangkan dengan kerusi bantuan kuasa untuk pemandu bagi semua varian.

7. Semua varian menggunakan skrin sebesar 7 inci yang mesra pengguna dan 8 pembesar suara yang menghasilkan bunyi yang sedap pada gegendang telinga.

8. Lampu Day Time Running Light dipasang pada lampu utama untuk semua varian. Ia nampak lebih mahal dan bukannya fungsi yang ditambah seperti aksesori.

9. Pintu akan terkunci secara automatik apabila enjin dipadamkan dan pemandu serta kunci bergerak menjauhi kereta

10. Penyaman udara dua zon bagi varian 1.5 TCP dengan kawalan suhu yang berbeza.

11. Semua varian menerima corong penyaman udara belakang dan fungsi ini jarang ditawarkan oleh pesaingnya.

12. Kesemua varian mempunyai 6 beg udara SRS, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Brek ABS dan EBD. Civic dianugerahkan skor 5 bintang bagi ujian perlanggaran ASEAN NCAP.

13. Honda menawarkan 5 tahun jaminan pengeluar dengan 5 kali servis percuma (kos buruh)

14. Ruang poket di bahagian konsol sangat besar mampu memuatkan peranti elektronik atau kamera digital. Perehat tangan boleh dialihkan ke depan dan ke belakang untuk keselesaan.

15. Soket HDMI, USB dan soket punca kuasa 12v disusun rapi di bahagian bawah konsol tengah. Terdapat satu lubang yang membolehkan wayar disusun kemas sewaktu digunakan.

16. Walaupun reka bentuk bumbung kelihatan rendah di belakang namun ruang kepala yang disediakan cukup memuaskan. Terdapat juga ruang yang luas untuk kaki dan lutut penumpang belakang.

Rekaan sporty, prestasi enjin berkuasa, jimat  bahan api dan dinamik pengendalian yang jitu membuatkan Honda Civic generasi ke-10 ini kekal relevan sebagai pilihan utama dalam segmen C.

Tak semua pengguna mahukan sebuah SUV yang besar bagak untuk kegunaan harian. Namun apa yang pengguna mahukan ialah sebuah sedan yang luas, berkuasa, segak dan seronok dipandu agar jiwa mereka kekal muda.

GALERI

Google ads
Back to top button