Buletin

HONDA CIVIC RS E:HEV RASMI DILANCARKAN. 184PS, BERMULA RM166,500

Honda Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi varian terbaharu Civic RS e:HEV ke pasaran tempatan. 

Hadir sebagai varian paling berkuasa, RS Civic e:EV sesuai untuk mereka yang mahukan prestasi tetapi tidak mahu berkompromi dengan aspek penjimatan.

RS Civic e:HEV 2023 dilihat melengkapkan lagi tawaran model hibrid Honda Malaysia yang sebelum ini memperkenalkan City, City Hatchback dan HR-V e:HEV. 

Namun begitu, perbezaan paling ketara di antara RS Civic e:HEV dengan model hibrid lain ialah sedan tersebut menggunakan enjin 2.0 liter kitaran Atkinson dan dua motor elektrik. Hasilnya, ia mampu menjana kuasa mencecah 184 PS dan tork 315Nm.

Sebagai sebuah hibrid, ia hadir dengan beberapa penambahbaikan. Antaranya ialah emblem H berwarna biru, lencana e:HEV, rim dua tona bersaiz 18 inci, selain kemasan krom. 

Masuk ke ruang kabin, RS Civic e:HEV dilengkapi skrin kluster digital bersaiz 10.25 inci, skrin infohibur sembilan inci, ketersambungan Apple CarPlay tanpa wayar, pad pengecasan tanpa wayar Qi dan fungsi menghidupkan enjin jarak jauh.

Buat kali pertama juga Honda Malaysia melengkapkan penawaran Civic RS e:HEV dengan fungsi kunci pintar (Smart Key Card) yang kelihatan seperti kad kredit. 

Dari segi keselamatan, jentera berkenaan dipasang dengan sistem Honda SENSING. Ia merangkumi ciri-ciri seperti brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, bantuan pengekalan Lorong, bantuan suluhan tinggi automatik dan amaran pergerakan hadapan.

Jika berminat, Civic RS e:HEV boleh anda miliki pada harga RM166,500 seunit. Pilihan warna ialah merah, hitam, kelabu dan putih.

Google ads
Back to top button