Buletin

HONDA CIVIC Si, 1.5 VTEC TURBO 200 HP 6 KELAJUAN MANUAL!

Gemarkan Honda Civic tetapi mahukan sesuatu yang lebih sporti? Civic Type R terlalu berkuasa? Jawapannya pada Civic Si yang baru sahaja diperkenalkan untuk pelanggan di Amerika Syarikat.

Civic Si bukan varian baharu, ianya adalah kesinambungan kepada legasi selama 40 tahun dan alternatif buat pelanggan yang mahukan varian sporti pada harga mampu milik.

Nama lain bagi Civic Si ialah Civic SiR yang digunakan untuk pasaran luar Amerika Syarikat.

Civic Si 2022 diasaskan dari Civic sedan dan walaupun hadir sebagai varian sporti ia tidak semestinya menggunakan gaya badan hatchback.

Sepanjang sejarahnya ada Civic Si yang ditawarkan di dalam bentuk sedan, hatchback dan coupé. 

Apa yang istimewa pada Civic Si 2022? Banyak di antaranya ialah sistem pemadanan rev dari Civic Type R.

Enjin VTEC® 1.5 liter turbo yang lebih responsif

Civic Si 2022 digerakkan enjin berkuasa 200 hp dan tork 260 Nm dari 1,800 rpm hingga 5,000 rpm.

Daya kilas enjin ini dapat dirasakan 300 rpm lebih awal untuk digunakan semasa keluar dari selekoh atau ketika memecut.

Selain itu, prestasi juga dipertingkatkan pada julat lebih tinggi dengan enjin mengekalkan lebih output pada kuasa puncak 6,000 rpm hingga redline 6,500 rpm.

Honda Civic Sedan

Honda turut menggunakan flywheel single mass baharu yang 26 peratus lebih ringan berbanding flywheel double mass pada Civic Si sebelumnya.

Flywheel baharu dengan 30 peratus pengurangan inersia turut menyumbang kepada respon pedal yang lebih pantas dan pemanduan lebih sporti.

Turut membantu di dalam pemanduan dan cengkaman limited-slip differential (LSD) jenis helical.

Civic Si juga menggunakan ekzos baharu jenis dual-coil silencer yang mempertingkatkan aliran ekzos sebanyak 27 peratus berbanding varian Civic Touring

Membantu bagi menghasilkan bunyi lebih asyik ialah sistem Active Sound Control yang dipertingkatkan untuk didengari pada lebih banyak julat rpm enjin.

Honda Civic Sedan

Sistem pemadan rev dan transmisi enam kelajuan manual

Tiada transmisi lain ditawarkan untuk Civic Si kecuali enam kelajuan manual. Transmisi itu dipertingkatkan untuk tukaran gear yang lebih feel dan sepuluh peratus lebih singkat (throw).

Untuk kali pertama di dalam siri Civic Si, model terbaru ini menggunakan sistem pemadaman rev sama seperti Civic Type R.

Sistem itu mempunyai masa respon 430 m/s (meter/saat) sama seperti Civic Type R dalam mod Sport dan berfungsi dengan blip pendikit apabila penurunan gear dikesan dan memadankan putaran enjin.

Pengendalian lebih jitu

Dari segi kekuatan badan, Civic Si 2022 adalah paling tegar (rigid) di dalam sirinya dengan lapan peratus peningkatan torsional rigidity dan 13 peratus bending rigidity lebih tinggi berbanding Civic Si sebelumnya.

Sama seperti Civic Sedan, Civic Si mempunyai ukuran track belakang 0.5 inci lebih lebar untuk pemanduan lebih stabil.

Ukuran jarak roda itu menyumbang kepada pemanduan lebih lancar dan kestabilan semasa kelajuan tinggi. Ukuran jarak roda (wheelbase) 107.7 inci Civic Si adalah paling panjang dalam kelasnya.

Seperkara lagi yang diubah ialah kekenyalan pegas (spring) depan dan belakang yang masing-masing 8 peratus dan 54 peratus lebih keras berbanding Civic Sedan.

Selain itu, bahagian atas (upper mount) suspensi depan MacPherson diperkukuhkan bagi menangani beban selekoh.

Palang penstabil depan lebih tebal dengan ukuran 27 mm (hollow) dan belakang 18 mm (solid) berbanding Civic Sedan dan bertujuan untuk mengurangkan olengan badan kereta.

Bagi mempertingkatkan lagi kestabilan Civic Si menggunakan sesendal depan (control arm bushing) dari Civic Type R dan 79 peratus lebih tegar berbanding Civic EX Sedan.

Sesendal belakang, upper arm dan b-arm juga digunakan dari Type R.

Rasa stereng turut dipertingkatkan dengan torsion bar yang 60 peratus lebih tegar dan menyambungkan steering shaft kepada gear stereng rack pinion.

Brek lebih besar

Civic Si menggunakan brek lebih besar berbanding Civic Sedan standard. Cakera depan berukuran 12.3 inci atau 1.2 inci lebih manakala cakera belakang 11.1 inci atau 0.9 inci besar berbanding Civic Sedan.

Mod pemanduan tambahan

Selain mod pemanduan Normal dan Sport, Civic Si istimewa dengan mod Individual yang membolehkan pemandu memilih sendiri respon enjin, tahap kuasa stereng dan warna paparan mete.

Mod Sport pula mempunyai fungsi respon pedal, mengurangkan bantuan stereng berkuasa, memadamkan idle stop system, buka dan memadam pemadanan rev dan menukar riasan lampu meter dari putih kepada merah.

Reka bentuk

Pada bahagian luar, bampar depan Civic Si lebih agresif dengan spoiler tersorok di bawah manakala bampar belakang dibentuk semula bagi menampakkan muncung ekzos bentuk oval yang besar.

Spoiler belakang pula berfungsi untuk menambah daya mendap dan mempertingkatkan kestabilan semasa kelajuan tinggi.

Civic Si menggunakan roda 18 inci warna hitam kusam dan dipadan bersama tayar 235/40R18.

Pada bahagian dalam, Civic Si menggunakan kerusi sport khas dan bahagian dudukan dinaikkan 0.5 inci di depan untuk lebih sokongan pada peha dan mengurangkan keletihan semasa pemanduan jauh.

Lagi ciri khas ialah pedal sport, sulaman merah pada pintu, stereng, perehat lengan, sarung batang gear dan tombol gear.

Warna merah turut digunakan pada panel sarang lebah papan pemuka.

Dari segi kuasa dan penampilan, Civic Si ini memang jauh untuk dibandingkan dengan Civic Type R namun ia sudah memadai untuk pelanggan yang mahukan varian lebih sporti tanpa perlu berbelanja besar.

Kuasa boleh tahan, rupa pun bagus, sesaran enjin pun tidak besar, okay sangat dah tu cumanya varian ini tidak pernah ditawarkan di negara kita secara rasmi.

Honda Civic Type R
Google ads
Back to top button