HONDA CIVIC TYPE R FL5 TIBA DI PASARAN TEMPATAN BULAN INI – HARGA SEKITAR RM370K
Honda Civic Type R FL5 disahkan bakal memasuki untuk pasaran tempatan pada 27 September ini dan hanya dilancarkan dalam edisi terhad.
Honda mendakwa bahawa model ini dijadikan lebih ringan dengan kadar ketegaran casis yang tinggi, selain meningkatkan pengalaman pemanduan dengan sistem suspensi dan stereng ditala semula.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Honda Civic Type R FL5 menerima tiga tip ekzos di bahagian tengah, serta rim 1 inci lebih kecil berbanding model terdahulu (19 inci) dengan balutan tayar Michelin Pilot Sport 4S saiz 265/30 ZR19.
Di bahagian dalam, Honda Civic Type R FL5 membawakan susun atur papan pemuka sama seperti model Civic standard, tetapi sudah tentu ada sedikit perubahan seperti balutan bahan berwarna merah di bahagian tempat duduk, diikuti tombol gear manual dan plak bernombor.
Perincian lain termasuklah dimuatkan skrin infotainmen bersaiz 10.2-inci, skrin kluster digital dengan dua paparan berbeza, serta roda stereng balutan kulit yang lebih ringkas kemasannya.
Bagi kelengkapan keselamatan, ia dilengkapi lapan-beg udara, dan juga pakej bantuan pemanduan Honda Sensing dengan fungsi Collision Mitigation Braking System (CMBS), Road Departure Mitigation (RDM) System, Forward Collision Warning (FCW) System, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lead Car Departure Notification System (LCDN) serta Auto High Beam Headlights (AHB).
Di Indonesia, model generasi baharu hot-hatch Honda Civic Type R FL5 dijana oleh enjin petrol 2.0 liter VTEC Turbo K20C1, menghasilkan 315hp dan tork 420Nm.
Sementara di Thailand, nadi ini berupaya menghamburkan kuasa 320hp @ 6,500rpm dan tork 420Nm @ 2,600-4,000rpm.
Di pasaran negara asalnya, ia menjana kuasa 329hp dan tork maksima 420Nm.
Untuk rekod, nadi berkenaan dipadankan bersama transmisi manual enam nisbah kelajuan yang memacu roda hadapan.
Peningkatan kuasa itu disumbangkan oleh penggunaan unit pengecas turbo yang lebih telah dioptimasikan, kadar aliran udara dipertingkatkan, serta sistem ekzos lebih cekap.
Untuk harga pula, Honda Civic Type R FL5 di pasaran Malaysia dijangka diberi tanda harga sekitar RM370,000.
Sebagai perbandingan, model ini dijual pada harga 3,990,000 baht, atau sekitar RM520,000 di Thailand.
Di Indonesia, ia boleh dimiliki pada harga Rp 1,399,000,000 atau sekitar RM412,000. – Automachi
GALERI:
- BACA: HONDA CIVIC RS e:HEV, HIBRID i-MMD PALING BERKUASA DARIPADA HONDA
- BACA: HONDA CIVIC TYPE R FL5 2023 RAMPAS KEMBALI GELARAN JENTERA FWD PALING PANTAS DI LITAR NURBURGRING
- BACA: BIMS 2023: GALERI HONDA CIVIC TYPE R FL5, HARGA LEBIH SETENGAH JUTA RINGGIT DI THAILAND
- BACA: TOYOTA GR COROLLA MORIZO VS HONDA CIVIC TYPE-R, SIAPA LAGI POWER?