HONDA CIVIC TYPE R FL5 2023 RAMPAS KEMBALI GELARAN JENTERA FWD PALING PANTAS DI LITAR NURBURGRING
Honda kembali ke litar ‘Green Hell’ dengan misi merampas takhta daripada Renault Megane RS Trophy-R yang dimenangi pada 2019, dengan catatan masa 7 minit 45.389 saat.
Untuk rekod, Civic Type R generasi FK8 sebelum ini mencatatkan rekod pusingan 7:43.8 pada 2017 tetapi di edisi 2019, peraturan telah dikemas kini meningkatkan jarak pusingan penuh (20.832 km vs 20.662 km).
Menerusi Honda Civic Type R FL5 2023, Honda berpuas hati apabila jentera itu mencipta rekod pacuan roda hadapan (FWD) baharu di litar Nürburgring Nordschleife, mencatat rekod pusingan 7 minit 44.881.
Walau bagaimanapun, catatan tersebut masih ketinggalan hampir empat saat yang pernah dicatatkan oleh Audi RS 3 pada 2022, 7:40.75.
Kejayaan Civic Type R FL5 sebagai FWD terpantas di Nürburgring dibantu oleh tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 (ditawarkan di pasaran A.S) berbanding menggunakan tayar Pilot Sport 4S standard.
Hatchback ini dikuasakan oleh enjin petrol 2.0 liter VTEC Turbo K20C1 seperti model generasi FK8 terdahulu, menghasilkan 326hp pada 6,500rpm dan 420Nm dari 2,600 hingga 4,000rpm. Talaan semula membolehkan ia lebih berkuasa 10hp serta 20Nm berbanding FK8. Ia digandingkan bersama transmisi manual 6-kelajuan.
“Enam tahun selepas rekod pusingan dicatatkan oleh Civic Type R (FK8) generasi sebelumnya, kami mencapai dimensi baharu untuk model Type R ini. Akhirnya, hasrat kami untuk berkongsi takhta ini dengan semua peminat Type R di seluruh dunia menjadi kenyataan,” kata Ketua Pembangunan Civic Type R, Hideki Kakinuma.
“Kami amat berharap semua pemilik semasa serta bakal pemilik Type R akan menikmati dan menyukai Civic Type R FL5.”
Di Malaysia, Honda Malaysia bakal memperkenalkan Honda Civic Type R FL5 2023 pada akhir tahun ini pada harga lebih mahal berbanding Civic Type R FK8 (RM320k).
- BACA: HONDA CIVIC TYPE R 2020 JADI KERETA HARIAN PILIHAN JOHN CENA
- BACA: BIMS 2023: GALERI HONDA CIVIC TYPE R FL5, HARGA LEBIH SETENGAH JUTA RINGGIT DI THAILAND
- BACA: PANDU UJI: HONDA CIVIC RS E:HEV. SEIMBANG ASPEK KUASA, PENGENDALIAN DAN PENJIMATAN
- BACA: TOYOTA GR COROLLA MORIZO VS HONDA CIVIC TYPE-R, SIAPA LAGI POWER?