Sejak tahun-tahun ke belakang Honda gemar mengeluarkan semula motosikal dengan reka bentuk retro. Paling ikonik ialah Super Cub C125 yang kini menjadi kapcai premium.
Terbaru Honda kembali ke dunia retro dengan menawarkan CT125 Hunter Cub yang mengimbas kembali siri CT pada era 60an dan 80an.
CT merujuk kepada motosikal untuk digunakan di dalam aktiviti rekreasi atau off-road.
Badan CT125 Hunter Cub diasaskan dari Super Cub C125 dan disesuaikan dengan tujuannya melalui beberapa komponen seperti suspensi, ekzos dan tayar.
Perubahan yang dibuat begitu banyak dan tidak setakat menyalin badan Super Cub sahaja.
Bahagian rangka belakang telah dipanjangkan manakala beberapa poin utama telah dikukuhkan supaya tahan lasak.
Bahagian depan menggunakan fork teleskopik dan jarak kelegaan bumi motosikal ialah 165mm.
Ekzos dinaikkan ke bahagian atas dan tepi yang merupakan identiti CT dari dahulu lagi.
Menariknya brek depan menggunakan cakera dengan fungsi ABS satu hala dan bahagian belakang tidak ketinggalan dilengkapi brek cakera.
Enjin JA55E bersesaran 124cc mempunyai kuasa 8.8 PS pada 7,000 rpm dan tork 11 Nm pada 4,500 rpm.
Enjin dengan empat kelajuan itu menggunakan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan dibekalkan tangki minyak berkapasiti 5.3 liter.
Ada dua warna yang ditawarkan iaitu glowing red dan matte fresco brown dan Honda mensasarkan untuk menjual 8,000 unit setahun di Jepun.
Berapakah harganya? 440,000 yen atau RM17,644. Memang keras dan munasabah memandangkan ia mempunyai banyak kelengkapan istimewa berbanding Super Cub C125 yang sudah sedia premium.
BACA: HONDA CBR1000RR-R FIREBLADE JDM – RM99.5K SAHAJA