Buletin

HONDA CBR1000RR-R FIREBLADE JDM – RM99.5K SAHAJA

Kepada yang gemar dan menantikan Honda CBR1000RR-R FIREBLADE, model perdana itu sudah pun dilancarkan di pasaran tempatan pada 13 Januari 2020. Menariknya ia adalah pelancaran pertama di Asia.

Untuk pelanggan di Jepun, kedua-dua CBR1000RR-R FIREBLADE dan CBR1000RR-R FIREBLADE SP dilancarkan pada 5 Mac 2020.

Kedua-dua model dikuasakan enjin SC82E 999cc empat silinder DOHC in-line dan sebagai aspirasi model perlumbaan mempunyai bore and stroke silinder sama seperti jentera Honda RC213V.

Honda CBR1000RR-R FIREBLADE JDM

Enjin dengan sistem suntikan PGM-DSFI itu mempunyai output 218 PS pada 14,500 rpm dan tork 113 Nm pada 12,500 rpm. Enjin itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Secara keseluruhannya, kedua-dua CBR1000RR-R FIREBLADE dan CBR1000RR-R FIREBLADE SP adalah sama kecuali beberapa komponen.

Secara amnya, CBR1000RR-R FIREBLADE SP bersaing dengan Ducati Panigale 4S dan Aprilia RSV4 1100 Factory. Menarik apabila ketiga-tiga jentera itu ditawarkan di negara kita.

Honda CBR1000RR-R FIREBLADE SP JDM

Berbanding FIREBLADE standard, CBR1000RR-R FIREBLADE SP dilengkapi suspensi ÖHLINS, brek depan BREMBO, bateri lithium-ion dan quick shifter.

FIREBLADE standard menggunakan suspensi SHOWA dan brek depan NISSIN. 

Bahagian depan FIREBLADE SP menggunakan fork ÖHLINS 43 mm NPX  Smart EC 2.0 manakala suspensi belakang pula ÖHLINS tiub berkembar TTX36 Smart-EC.

Honda CBR1000RR-R FIREBLADE SP JDM

Brek depan adalah dari jenis BREMBO Stylema empat omboh yang menghentikan cakera 330 mm dan 10 mm lebih besar berbanding generasi sebelumnya.

Angkup brek BREMBO belakang yang digunakan sama seperti RC213V-S.

Penggunaan bateri lithium-ion pula menyumbang kepada pengurangan berat manakala quick shifter membantu dalam penukaran gear lebih pantas.

Honda CBR1000RR-R FIREBLADE SP JDM

Berkenaan harga, Honda CBR1000RR-R FIREBLADE dijual lebih rendah pada JPY2,420,000 (RM99,504) manakala CBR1000RR-R FIREBLADE SP pada JPY2,783,000 (RM114,429).

Sebagai pengeluar Jepun, pengguna di sana menikmati kelebihan harga yang menyaksikan FIREBLADE SP dijual pada RM198,888 di negara kita.

Warna Matte Pearl Morion Black kelihatan menarik dan khusus untuk CBR1000RR-R FIREBLADE dan tambahan kepada Grand Prix Red yang turut ditawarkan pada CBR1000RR-R FIREBLADE SP.

Honda mensasarkan untuk menjual 800 unit FIREBLADE setahun.

Sumber: Honda, Bennetts

Kredit foto: Honda

Google ads
Back to top button