,
Buletin

HONDA e KINI RASMI, DARI RM136 RIBU

Setelah beberapa kali membuat hebahan model elektrik Honda e akhirnya didedahkan kepada awam semasa Pameran Kenderaan Frankfurt (IAA) 2019 di Jerman.

Menariknya model elektrik pertama Honda itu saling tidak tumpah dengan versi konsep sebelum ini termasuk bahagian dalaman yang didominasi skrin LCD pada papan pemuka.

Selain model produksi, Honda turut mengumumkan harga rasmi di Jerman iaitu €29,470 (RM135,782) bagi varian 100kW dan €32,470 (RM149,604) untuk varian Advance dengan kapasiti 113kW. Harga tersebut termasuk subsidi kerajaan.

Satu lagi perkara yang menarik perhatian ialah Honda menggunakan gaya bahasa timeless walaupun e sarat dengan teknologi canggih. Gaya ini juga lari daripada trend EV lain yang hadir dengan reka bentuk futuristik.

Satu komponen canggih pada bahagian luar e ialah Sistem Cermin Kamera Sisi yang menggantikan cermin sisi biasa dengan kamera kompak.

Imej yang dirakam daripada kamera sisi ditayangkan secara langsung kepada dua skrin enam inci di dalam kereta. Teknologi ini adalah yang pertama untuk segmen kompak.

Selain kamera sisi turut canggih ialah pembuka pintu jenis pop-out yang disimpan di dalam pintu ala kereta mewah.

Timeless di luar, moden di dalam. e dilengkapi lima skrin yang melintangi papan pemuka dengan pelbagai fungsi. Mendominasi papan pemuka ialah skrin berkembar sesentuh berukuran 12.3 inci.

Skrin besar tersebut adalah paparan utama untuk sistem infohibur dengan pelbagai aplikasi dan khidmat yang menghubungkan kereta dan pemilik. Ia ibarat ruang tamu bergerak dengan sistem multimedia.

Kereta ini dilengkapi Honda Personal Assistant yang diaktifkan dengan menyebut “OK Honda” dan diikuti arahan atau pertanyaan.

Dari segi kuasa, e digerakkan oleh motor berkuasa tinggi dengan dua output kuasa 100 kW (136ps) atau 113kW (154ps) dan daya kilas 315 Nm. Bateri 35.5kWh yang digunakan mampu membekalkan tenaga sehingga 220km dengan cas penuh.

Jarak tersebut kurang daripada Nissan LEAF namun memadai untuk perjalanan harian di bandar. Walaupun rendah untuk standard EV hari ini, bateri e mampu dicas sehingga 80 peratus dalam masa 30 minit sahaja menggunakan pengecasan pantas.

Honda tidak melupakan keseronokan pemanduan dalam membangunkan e, motor elektrik memacu roda belakang dan keupayaan memecut dari 0 hingga 100 km/j dianggarkan sekitar lapan saat.


Beberapa bulan lalu Honda telah membuka pendaftaran untuk e dan menerima sambutan hangat dan lebih 40,000 telah mendaftarkan minat untuk model ini.

Kepada peminat tempatan, setakat ini Honda memaklumkan e hanya untuk pasaran Eropah sahaja dan kami berpendapat ia wajar ditawarkan di pasaran ASEAN bagi menyaingi Nissan LEAF dan mengukuhkan penjenamaan sebelum diteroka oleh pengeluar lain.

Pelanggan di United Kingdom, Jerman, Perancis, dan Norway akan menerima unit mereka bermula Jun tahun depan.

BACA: PADA 2007 HONDA INSPIRE DIPERKENAL DI JEPUN – ACCORD V6 3.5L i-VTEC!

BACA: HONDA CIVIC HATCHBACK FACELIFT KINI DI AMERIKA SYARIKAT, DARI RM94K!

BACA: ACURA TYPE S CONCEPT – BUKTI HONDA MASIH MAMPU HASILKAN KERETA SPORTS YANG CANTIK

Tags
Google ads
Back to top button