Buletin

HONDA CIVIC HATCHBACK FACELIFT KINI DI AMERIKA SYARIKAT, DARI RM94K!

Honda Civic generasi kesepuluh secara umumnya mempunyai tiga jenis badan iaitu sedan, hatchback dan coupé. Daripada tiga, tidak kesemuanya memasuki pasaran kecuali Amerika Syarikat.

Di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, pengguna ditawarkan dengan Civic sedan dan hatchback. Di pasaran tempatan anda boleh memiliki model sedan dan terus ke Type R tanpa diselangi model hatchback.

Walaupun Civic adalah model segmen C yang popular di negara kita, ianya satu tahap lebih di Amerika Syarikat dan tidak menghairankan apabila kesemua jenis badan ditawarkan di sana.

Di AS, Civic adalah kereta penumpang terlaris di dalam kelasnya serta kereta penumpang terlaris dalam tempoh tiga tahun berturut-turut. Civic juga adalah pilihan nombor satu buat pelanggan milenial, Gen Z, pelbagai kaum dan pembelian pertama.

Selari dengan prestij tersebut, Honda memperkenalkan Civic Hatchback facelift dengan pembaharuan luar dan dalam. Ia adalah susulan kepada Civic sedan facelift yang dilancarkan di AS, Thailand dan Indonesia sebelum ini.

Perubahan paling jelas ialah pada bahagian bampar depan yang kini hadir dengan palang melintang pada perumah lampu kabus. Bentuk signatur sayap Honda pada gril turut diperbaharui manakala lampu utama kini dengan efek gelap untuk imej lebih sporti.

Bampar belakang turut mempunyai garis melintang pada bahagian lampu reflektor. Roda aloi pula bercorak baharu dengan warna kelabu gelap atau hitam.

Bahagian dalaman dibezakan dengan varian, Civic Sport menerima kemasan bercorak geometrik, LX dan EX dengan kemasan berwarna manakala EX-L dan Sport Touring eksklusif dengan hitam brushed.

Civic Hatchback facelift turut didatangkan dengan tambahan penebat bunyi pada lantai, but, fender depan dan belakang.

Untuk nadi kuasa, Civic Hatchback menggunakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dengan dua pilihan transmisi iaitu CVT dan enam kelajuan manual. 

Dari segi keselamatan, kesemua varian Civic Hatchback dilengkapi teknologi Honda Sensing® sebagai ciri standard.

Honda Civic Hatchback facelift ini dijual di Amerika Syarikat pada harga permulaan USD$22,580 (RM94,294) untuk varian asas LX CVT sehingga USD$29,780 (RM124,361) bagi varian Sport Touring CVT.

Julat harga tersebut tidak jauh berbeza dengan harga Honda Civic pasaran tempatan kecuali model AS dilengkapi Honda Sensing® sebagai ciri standard. 

Satu lagi perkara menarik, Honda Civic Hatchback untuk pasaran AS diimport dari kilang Honda yang terletak di Swindon, United Kingdom yang merupakan satu-satunya pusat pengeluaran Type R sedunia.

Buat pengguna tempatan, anda sebenarnya boleh memiliki Civic Hatchback daripada pengimport bebas dan harus tahu, harganya sedikit keras jika dibandingkan dengan Civic Sedan yang dijual oleh pengedar rasmi.

BACA: APA ISTIMEWANYA HONDA CIVIC FD2 TYPE-R?

BACA: HONDA CIVIC FN2. KISAH TYPE-R YANG TIDAK DIKENALI…

BACA: HONDAJET LAKU KERAS, HONDA UNGGUL DI UDARA, DARAT & AIR

Tags
Google ads
Back to top button