Pandu Uji

PANDU UJI: HONDA CIVIC e:HEV, KUASA MACAM TAK AKAN HABIS!

Berbanding sedan segmen C lain, tidak kiralah daripada jenama Jepun, Eropah mahupun Korea, Honda Civic cukup bernasib baik kerana masih mempunyai peminat tegar yang ramai. 

Buktinya, Honda Malaysia tidak perlu bersusah payah buat promosi berlebihan untuk Civic generasi terbaharu ini. Sebaik sahaja dilancarkan secara rasmi, jumlah tempahan terus mencatatkan angka yang memberangsangkan. 

Bagi menawarkan lebih banyak pilihan, Honda Malaysia dijadual melancarkan versi Civic yang lebih berkuasa dan mesra alam ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Tetapi sebelum itu, mereka bermurah hati untuk memberi peluang kepada kami untuk memandu uji jentera berkenaan di Litar Sepang. 

Dikenali sebagai Civic e:HEV, ia meluaskan lagi portfolio tawaran model hibrid daripada Honda yang sebelum ini ditawarkan menerusi model City, City Hatchback dan HR-V e:HEV. Walaupun menggunakan sistem hibrid yang sama, perubahan paling besar di antara model-model itu ialah kapasiti enjin. 

City, City Hatchback dan HR-V e:HEV menggunakan enjin 1.5 liter, sedangkan Civic e:HEV dipasang dengan enjin 2.0 liter yang pastinya jauh lebih power. Di atas kertas, enjin itu mampu menjana 143PS dan tork 189Nm. Kemudian ia digabungkan pula dengan motor elektrik menjasi 184PS dan tork 315Nm. 

Hasilnya, kuasa itu membuatkan anda seperti ketagih untuk menekan pedal minyak kerana kuasanya seperti tidak habis-habis, tidak kira pada julat rpm mana sekali pun. Gabungan dengan kotak gear e-CVT yang sangat lancar itu pula meningkatkan lagi keterujaan ketika memandu. 

Bagi membuktikan betapa berkuasanya Civic e:HEV, kami berpeluang untuk mengujinya dalam beberapa sesi ujian. Ujian pertama melibatkan sesi drag race dengan Civic RS 1.5L turbo. Seperti yang dijangka, Civic e:HEV dapat memecut jauh lebih pantas dan senyap berbanding Civic 1.5L Turbo. 

Tujahan tork boleh dirasai hampir serta-merta sebaik sahaja pedal minyak ditekan sepenuhnya. Ditambah pula dengan penukaran gear yang langsung tiada rasa sengguk, maka memang senang sahaja nak tinggalkan Civic 1.5 liter Turbo itu di belakang. Apatah lagi kalau mode pemanduan Sport dipilih. 

Selepas habis ujian drag, saya masuk ke South Track untuk menilai sendiri pengendalian model hibrid ini. Sebelum memasuki selekoh, kelincahan Civic e:HEV diuji di laluan slalom dengan jarak kon yang agak dekat. 

Harus tahu bahawa Civic eHEV adalah 100kg lebih berat berbanding Civic 1.5L Turbo. Terima kasih kepada pek bateri dan motor yang dipasang padanya. Biarpun begitu, sedan itu dapat mengelak kon dan mengubah haluan dengan begitu cemerlang. 

Selesai slalom, saya menguji pula kepantasan tork jentera ini. Caranya mudah sahaja, berhenti di garisan yang disediakan, kemudian tekan pedal minyak rapat ke lantai.

Jelas sekali tork 315Nm bukan sekadar angka untuk menarik pembeli di bilik pameran. Kuasa tersebut boleh diekstrak dengan mudah dan membuatkan anda boleh terlupa bahawa ini adalah sebuah kereta hibrid. 

Ujian itu diteruskan dengan menyusuri separuh litar South Track yang memang terkenal dengan permukaan jalan yang terbaik. Jika dibandingkan dengan Civic 1.5 Turbo RS, suspensi belakang Civic e:HEV adalah lebih keras untuk menampung berat tambahan rangkaian sistem hibrid i-MMD. 

Sepanjang memandu sebanyak tiga pusingan, perkara yang saya paling saya ingat ialah Civic e:HEV seperti tidak pernah kehabisan kuasa.

Anda boleh leka memandu sedan ini, sedar-sedar sahaja sudah sampai ke selekoh yang seterusnya. Ia seolah-olah menukar naratif model hibrid Honda yang sebelum ini lebih berkisar kepada aspek penjimatan bahan api dan mesra alam. 

Sebaliknya, Civic e:HEV mahu tampil sebagai sebuah sedan yang menawarkan kualiti pengendalian, lebih senyap, penuh kuasa dan tetap menjimatkan minyak iaitu hanya 4 liter bagi setiap 100km. Jadi, apa lagi yang anda mahukan? Semua ini dimasukkan dalam satu pakej reka bentuk yang elegan dan lebih matang berbanding generasi sebelumnya.

Dari segi luaran, varian baharu itu dibezakan menerusi logo H dengan kemasan berwarna biru. Perumah lampu utama dan bingkai tingkap dilengkapi kemasan krom, rim multi-jejari dua tona bersaiz 18 inci yang dibalut tayar Michelin PS4 serta ekzos tunggal di belakang. 

Pemilik Civic e:HEV juga akan menerima kunci fob yang nipis, berbanding fob kunci yang biasa. Memang bergaya. 

Jika berminat, model ini sudah dibuka untuk tempahan. Dengar kata, pelancarannya akan dibuat dalam suku keempat tahun ini juga. Apa pun, tunggu sahaja pengumuman rasmi daripada Honda Malaysia.

GALERI

Google ads
Back to top button