Buletin

NISSAN TUTUP KILANG IKONIK DI OPPAMA MENJELANG MAC 2028

Dalam langkah yang mengejutkan ramai, Nissan Motor Co. mengumumkan ia akan menamatkan operasi pengeluaran di kilang ikoniknya di Oppama, Jepun, sebuah fasiliti yang telah menjadi nadi pengeluaran syarikat sejak tahun 1961.

Penutupan itu dijangka berlaku menjelang Mac 2028 sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan kos dan pelan penstrukturan semula yang dikenali sebagai “Re:Nissan”.

Kilang Oppama, yang terletak berhampiran Tokyo dan mempunyai kira-kira 2,400 pekerja, merupakan antara tapak paling penting dalam sejarah Nissan.

Namun, syarikat itu kini mengambil langkah drastik untuk mengurangkan kapasiti pengeluaran tahunan daripada 3.5 juta kepada 2.5 juta unit. Ini termasuk pengurangan bilangan kilang global daripada 17 kepada hanya 10, seperti diumumkan oleh CEO Nissan, Ivan Espinosa, tidak lama selepas beliau memegang jawatan.

Nissan menjelaskan bahawa pengeluaran dari Oppama akan dipindahkan ke kilang Nissan Motor Kyushu di Fukuoka, barat Jepun, menjelang akhir tahun fiskal 2027.

Syarikat itu menyifatkan langkah ini sebagai pilihan paling efektif dari segi kecekapan kos, kapasiti pengeluaran dan potensi pelaburan jangka panjang.

“Keputusan ini bukan mudah, sama ada untuk saya secara peribadi mahupun untuk syarikat,” kata Espinosa.

“Namun, ia langkah penting untuk membina masa depan Nissan yang mampan. Kilang Oppama adalah sebahagian daripada legasi kami, dan kami berterima kasih kepada semua pekerja serta komuniti tempatan.”

Walaupun aktiviti pengeluaran ditamatkan, Nissan menegaskan bahawa kemudahan penyelidikan dan pembangunan seperti Nissan Research Center, GRANDRIVE, fasiliti ujian pelanggaran (crash test) dan pelabuhan kenderaan Oppama Wharf akan terus beroperasi seperti biasa.

Namun begitu, penutupan kilang ini dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi tempatan. Gabenor Kanagawa, Yuji Kuroiwa, menyuarakan kebimbangan terhadap kesan sosial dan ekonomi yang akan timbul, terutamanya dalam sektor pekerjaan.

“Penutupan ini pasti membawa kesan besar kepada ekonomi dan pekerjaan di rantau ini,” katanya.

Google ads
Back to top button