Artikel Pilihan

MASIHKAH ANDA INGAT TENTANG KERETA INI? PROTON WAJA YANG BERTARUNG DALAM BTCC?

Ia adalah sebuah kereta yang sangat penting bagi Proton sebagai titik mula peralihan teknologi Mitsubishi kepada pembuat kereta sendiri. Proton Waja merupakan bukti bahawa Proton memang boleh membina kerangka kereta sendiri.

Sama seperti waktu kegemilangan Saga, Iswara, Wira dan Putra yang menceburi pelbagai jenis perlumbaan, Proton Waja juga dianggap penting untuk mengenengahkan keupayaan casis Proton untuk bertarung dalam sukan lasak. Jika sebelum ini Proton-Mitsubishi lebih ke arena rali, kali ini mereka ingin sesuatu yang berbeza-perlumbaan touring.

BACA: PROTON PUTRA WRC, PERJUANGAN SEMALAM

BACA: PROTON KR3-IMPIAN PROTON DALAM MOTOGP

Cita-cita ini membawa pasukan perlumbaan ke Britain di mana pusingan perlumbaan berprestij British Touring Car Championship dilangsungkan. DI UK, Waja dikenali sebagai Proton Impian dan projek ini telah bermula seawal tahun 2001.

Proton Impian BTC-T merupakan sebuah kereta lumba kelas BTC Touring yang dihasilkan khusus untuk Kejohanan British Touring 2002 oleh pasukan PSP (bukan Playstation tetapi Petronas Syntium Proton), yang bertanggungjawab mengendalikan program perlumbaan Proton UK.

Bagaimana Proton boleh berlumba sampai ke UK? Sepertimana yang ramai ketahui, Proton sudahpun memasuki pasaran UK sejak dari zaman Saga/Iswara. Pada tahun 2001, Proton mengumumkan yang ia akan menyertai perlumbaan BTCC (British Touring Car Championship) buat kali pertama dengan menggunakan Proton Impian (Waja) dan pihak yang bertanggungjawab melaksanakan projek ini ialah Pasukan Petronas Syntium Proton.

Berpangkalan di Norfolk, pasukan ini terpaksa membeli kereta-kereta untuk membangunkan model ini dari wakil pengedar Proton di England kerana kesukaran untuk mengimport kerangka badan dari Malaysia. Ini sedikit sebanyak menjejaskan perancangan asal kerana ia bukannya dihasilkan khas sebagai kereta lumba dari asal.

Enjin yang digunakan pada kereta ini dibekalkan oleh Mountune Racing  dan mendapat kedua pemandu sewaktu sesi ujian. Dua pemandu dipilih pada musim pertama iaitu David Leslie dan Phil Bennet. Leslie berjaya menaiki podium beberapa kali pada tahun 2002 dan berjaya mendapat tempat ketujuh keseluruhan.

Bennet pula kurang bernasib baik dan hanya berjaya mendapat temppat ke 16 keseluruhan, berbeza dengan prestasi beliau tahun sebelumnnya sewaktu menjadi pelumba pasukan Vauxhall. Cuma seorang pelumba persendirian berada di belakang beliau iaitu Carl Breeze yang memandu Peugeot.

Kedua pemandu dikekalkan pada tahun berikutnya tetapi kereta baharu yang digunakan tidak begitu kompetitif dan cuma mampu mendapat kedudukan terbaik di tempat kelima ditangan Leslie, itupun cuma dalam perlumbaan pertama yang dilangsungkan di Mondello Park.

Pada penghujung musim Leslie jatuh di kedudukan ke sebelas dan Bennet sekali lagi menghuni tangga ke 16. Proton kekal di tangga keempat untuk kategori pengeluar.

Tahun 2004 menyaksikan Proton Impian ini menggunakan khidmat dua pemandu baharu iaitu Shaun Watson-Smith dari Afrika Selatan dan Fariqe Hairuman seorang pemandu Malaysia.

Malangnya tiada perubahan dari segi kedudukan pemandu bahkan lebih buruk berbanding sebelumnya dengan Watson-Smith menduduki tempat ke 14 dan Fariqe cuma mendapat tempat ke 23.

Proton menduduki tangga terakhir kategori pengeluar iaitu tempat keempat di belakang Seat Sport UK yang buat pertama kali menyertai kejohanan dengan menggunakan Seat Toledo Super 2000.

Selepas 3 tahun berjuang dalam kejohanan BTCC, Proton akhirnya menarik diri dan memilih Hairuman, Mashlino Buang dan Michael Briggs untuk berjuang dalam kejohanan Asian Touring Car Championship (ATCC) dengan menggunakan kereta yang sama tetapi menggunakan nama Proton Waja.

Dalam pertarungan dengan kereta-kereta Super 2000 dan Super Production, Waja ataupun Impian ini terbukti cukup kompetitif. Malah Fariqe Hairuman berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua pada tahun 2005 dan 2006. Kereta ini telah ditamatkan perkhidmatan pada tahun 2007 di mana Pasukan PSP memilih untuk menggunakan BMW 320Si Super 2000.

Spesifikasi kereta:         

Proton Impian/Waja BTC Touring

Sedan  empat-pintu, pacuan hadapan, enjin 4-selinder 2-liter. Suspensi hadapan menggunakan topang McPherson dan multilink di belakang.

Data Teknikal: 

Enjin                                 : Empat selinder sebaris, 1996 cc (diambil dari enjin produksi asal 1.8-   liter), 16-injap DOHC.

Enjin ini disiapkan oleh Mountune lengkap dengan sistem sejukan minyak. Ia menggunakan pelincir terbaik keluaran Petronas iaitu PETRONAS Syntium Fully Synthetic.

Ekzos                                 : Manifold 4-2-1 dan muffler dari BTB Exhausts.

Sistem pacuan                 : klac karbon yang dibekalkan oelh AP Racing.

Transmisi                         : Kotak gear 6-kelajuan yang dibekalkan oleh Xtrac lengkap

dengan tukaran sequential dan ratio yang boleh diubahsuai. Ia juga turut dilengkapi dengan differential mekanikal.

Badan                               : Roll-cage rekaan komputer dengan binaan regangan tinggi dan dihasilkan oleh Custom Cages. Ia juga turut dilengkapi dengan tangki bahan api 60-liter.

Suspensi hadapan         : Topang McPherson rekaan perlumbaan yang ringan lengkap dengan bar anti-oleng. Ia kemudiannya digabungkan dengan penyerap hentak Ohlins dan spring keluaran Eibach.

Suspensi belakang         :  Sistem multilink yang cukup ringan dan digabungkan dengan penyerap hentak Ohlins dan spring Eibach.

Rim                                    : OZ Racing 17” x 9”.

Brek                                  : Sistem litar berkembar bantuan hidraulik keluaran AP Racing lengkap dengan angkup 6-piston di hadapan dan 2-piston di belakang.

SUMBER

TOURINGCARREGISTER

WEBCARSTORY

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button