Buletin

HONDA MALAYSIA KONGSI VIDEO TEASER CITY HATCBACK. LANCAR TIDAK LAMA LAGI

Honda Malaysia baru sahaja berkongsi satu klip video teaser tentang model yang bakal dilancarkan di laman Facebook dan YouTube rasminya.

Dengan caption ringkas “Move aside. Y? Because. This. Is. It..” ia jelas menunjukkan bahawa Honda Malaysia bakal melancarkan City Hatchback ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Video berdurasi 11 saat itu bagaimanapun hanya memaparkan bahagian luaran City Hatchback yang cukup sporty. Tentang bahagian dalaman pula, jangan bimbang kerana ia sama sahaja seperti honda City sedan yang sedang dijual di pasaran sekarang.

Sedia maklum bahawa City Hatchback akan menggantikan model kompak Jazz generasi keempat yang tidak akan dijual secara rasmi di pasaran Asia Tenggara kecuali Singapura.

Besar kemungkinan, City Hatchback akan ditawarkan dalam varian S, E, V dan RS e:HEV sebagai model tertinggi sama seperti City sedan. Sebagai varian paling mewah, RS e:HEV bakal dilengkapi ketersambungan Honda CONNECT, selain keselamatan Honda SENSING.

Honda CONNECT menggunakan teknologi telemetik untuk menawarkan sistem komunikasi 24 jam demi memastikan keselamatan dan kemudahan kepada pengguna. 

Hatchback itu juga dijana oleh 1.5L DOHC i-VTEC bersama Multi-Mode Drive (i-MMD) dan sistem hibrid dua motor. Dipadankan bersama kotak gear e-CVT, ia menawarkan kuasa mencecah 109PS dan tork 253Nm.

Bagi varian lain, jentera yang sudah membuat penampilan di pasaran Thailand itu menggunakan enjin aspirasi biasa bersesaran 1.5 liter DOHC i-VTEC baharu. Ia mampu menjana kuasa berkuasa  121PS, paling tinggi dalam kelasnya dan tork maksimum145 Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT.

Walaupun pasaran Thailand ada menawarkan enjin turbo 1.0 liter, tetapi pilihan enjin tersebut mungkin tidak ditawarkan lagi oleh Honda Malaysia.

Model yang dipasang di kilang Honda di Pegoh, Melaka itu pasti boleh menjadi pilihan terbaik untuk anda yang mahukan sebuah hatchback menarik berteknologi tinggi. Toyota Yaris dan Mazda2 kini ada pesaing sengit!

Apa pun, kita tunggu pelancaran rasmi City Hatchback sedikit masa lagi.

Google ads
Back to top button