Artikel Pilihan

HONDA AMAZE, KERETA HONDA PALING MURAH. TAPI SESUAI KE UNTUK MALAYSIA?

Honda Amaze, mungkin anda tak pernah dengar nama kereta ini tapi ia tetap sebuah kereta keluaran Honda. Cuma ia bukan untuk pasaran Malaysia dan tidak akan masuk ke Malaysia atas pelbagai sebab. Nanti kami huraikan dengan lebih lanjut. Ia berkait rapat dengan polisi dan pemodenan industri negara.

Bagi sesetengah negara yang kurang membangun satu ketika dulu, salah satu cara untuk menjadi negara maju ialah dengan meningkatkan pendapatan rakyat. Pendapatan rakyat boleh ditingkatkan dengan cara mewujudkan peluang pekerjaan terutama dalam industri automotif

Pada masa yang sama, kerajaan perlukan alternatif kenderaan mampu milik mesra alam untuk rakyat kerana tak semua rakyat mampu membeli kenderaan berteknologi canggih seperti kereta elektrik dan juga hibrid. Maka kerajaan Indonesia melancarkan program Low Cost Green Car dan Thailand mempunyai program Thai Eco Car

Syarat LCGC Indonesia, wajib ada nama tempatan (Satya)

Kedua dua program ini akan memberikan banyak kelebihan dari segi cukai dengan syarat-syarat ketat yang mesti dipatuhi oleh pengeluar seperti:

1. Penggunaan petrol mesti paling kurang 20km per liter atau lebih

2. Thai Eco Car wajib lulus ujian pelepasan asap Euro 5 dengan kadar pengeluaran gas karbon dioksida kurang 100g/km

3. Bagi enjin petrol, saiz enjin tidak boleh lebih 1200cc dan menggunakan RON92 minima. Bagi enjin diesel, saiz enjin tidak boleh lebih daripada 1500cc dengan Cetane Number 51 bagi bahan api diesel

4. Wajib dipasang dalam negara yang hendak dipasarkan

5. Bagi Thai Eco Car, ia wajib dipasang dengan sistem brek ABS, ESC dan juga mematuhi peraturan keselamatan UN ECE R95

Kalau dah lepas syarat ini, barulah kereta tadi akan menikmati rebat cukai yang banyak, dan boleh dijual dengan murah pada harga kompetitif. Kerajaan pula akan menikmati impak sampingan seperti pembangunan industri, mewujudkan peluang pekerjaan dan industri sokongan kepada automotif.

Untuk Honda masuk dalam pasaran ini, mereka telah menggunakan platform khas yang dipanggil sebagai Honda Global Small Car. Di pasaran Jepun, Honda pun pandai bermain dalam segmen kei car menyebabkan mereka tiada masalah dengan rekaan. Toyota pula masuk ke pasaran ini melalui Daihatsu dan bagi kes Malaysia melalui Perodua.

Brio yang disumpah menjadi MPV

Bagi Suzuki pula, pasaran India adalah tempat mereka bermaharajalela melalui kerjasama dengan syarikat tempatan. Ok, berbalik pada Honda, produk mereka yang pertama ialah Honda Brio dilancarkan pada tahun 2011 yang dikuasakan dengan enjin 4 silinder 1200cc i-VTEC yang menghasilkan 89 kuasa kuda dan 110Nm tork.

Enjin ini boleh beroperasi dengan E20, bermaksud dicampur dengan ethanol sebanyak 20% dengan penggunaan petrol pada 19.4km/l. Ia ditawarkan dalam 2 varian samaada CVT atau 5 kelajuan manual. Tapi Honda Brio ini adalah kereta kompak bandar (saiz ala-ala Axia) sedangkan terdapat permintaan untuk pasaran sedan.

Jadi pada tahun 2013, Honda melancarkan pula Honda Amaze iaitu Honda Brio yang dijadikan sedan dengan menggunakan platform Honda Global Small Car tadi. Bagi mengelakkan bahagian belakang menjadi tonggek, maka platform Brio dengan jarak antara roda dari 2345mm ditambah menjadi 2405mm. Baru la nampak senonoh sikit di bahagian belakang.

Sumber gambar : Zhen Feng Yap. Amaze varian petrol manual

Bagi kes Axia dan Bezza, ia berkongsi Daihatsu A Global Platform dengan jarak antara roda yang sama iaitu 2455mm. Jadi bila ubah dari kompak ke sedan, rekaan belakang kurang menarik dan menyebabkan Perodua mengubah rekaan belakang dengan segera. Persona dan Iriz juga ada isu yang sama iaitu jarak antara roda yang sama iaitu pada 2555mm

Ok berbalik kepada Honda Amaze, ia telah memasuki generasi kedua dilancarkan di India semasa Auto Expo 2018 dan dipasang di India. Walaupun pada awalnya ia dibangunkan untuk Thailand, namun hanya 32,000 unit sahaja terjual berbanding dengan sasaran asal Honda iaitu 40,000 unit setahun.

Semakan penulis di laman sesawang Honda Thailand menunjukkan ia tidak lagi dijual melainkan kembar Brio yang dijadikan MPV kompak iaitu Honda Mobilio. Bagi pasaran Indonesia, mereka masih lagi menjual Brio generasi kedua tapi tidak menjual model Amaze.

Sumber gambar: FB Zhen Feng Yap. Ya rim kompang pada model asas

Model Amaze pula berpindah menjadi model sedan kegemaran di India dengan jualan pada tahun 2019 mencecah sebanyak 68,000 unit. Dengan harga anggaran sekitar RM 39,300 anda akan dapat sedan

1. dengan enjin i-VTEC 1200cc, 89 kuasa kuda dan 110Nm tork. Namun penggunaan petrol adalah sekitar 18.6km/l menyebabkan ia tidak lagi sesuai dijual di Indonesia dan juga Thailand. Varian turbodiesel menghasilkan 98 kuasa kuda dan 24.7km per liter

2. Transmisi manual 5 kelajuan. Transmisi CVT ditawar pada harga lebih mahal

3. 2 beg udara, cagak ISOFIX, dan brek ABS. Ruang bagasi pula ialah sekitar 420 liter

4. Sistem audio tidak diberi, menggunakan rim kompang, kunci manual, lampu halogen dengan suis pengubah ketinggian, masih ada meter RPM, cermin sisi dengan penutup plastik hitam dan masih diberikan unit penyaman udara

Sumber gambar : FB Zhen Feng Yap

Kalau masuk Malaysia laku ke tak? Untuk pengetahuan pembaca Honda Brio pernah dipasarkan dan dijual secara rasmi tapi BUKAN dalam bentuk hatchback (Brio), sedan (Amaze) atau MPV (Mobilio) tapi dalam bentuk SUV 7 tempat duduk iaitu BR-V.

Cesi SUV ini dibangunkan dengan menggunakan cesi Honda Global Small Car, cuma untuk bahagian enjin dan depan ia digabungkan dengan cesi Jazz/City GM6 bagi memuatkan enjin 1500cc. Dengan tayar besar, 7 tempat duduk dan badan lagi besar, sengsara jugak kalau pakai enjin 1200cc i-VTEC.

Tapi dengan cesi Global Small Car ini, kaveat yang utama ialah ia kurang cemerlang dari segi NVH dan juga aspek keselamatan. Jadi ini menerangkan kenapa BR-V tidak dapat menyediakan 6 beg udara seperti pesaing dan bunyi tayar masuk dengan ketara bila dipandu di lebuh raya. Jadi tidak hairanlah BR-V baru akan mengguankan cesi baru bagi generasi ke dua bagi menaikkan aspek keselesaan dan keselamatan

Ia akan menjejaskan imej Honda sebagai satu jenama yang lebih premium dari jenama tempatan sekiranya Amaze dibawa masuk ke sini. Bila pembeli Malaysia membeli Honda, mereka mahukan sebuah kenderaan yang premium, berkuasa, jimat dan selesa. Customer expectation di Malaysia, Indonesia dan Thailand tak sama dengan di India.

Untuk merasai pengalaman pemanduan Honda, biarlah tugas itu digalas oleh Honda City dan juga kembarnya nanti iaitu Honda City Hatchback. Lagipun Honda City Hatchback dah tak lama nak masuk pasaran Malaysia

Google ads
Back to top button