Buletin

HONDA MALAYSIA PERKENAL ODYSSEY 2022. CBU JEPUN, 3 PILIHAN WARNA, BERMULA RM275K

Honda Malaysia baru-baru ini memperkenalkan MPV tujuh tempat duduk, Odyssey baharu ke pasaran tempatan. Ditawarkan pada harga RM275,311 seunit, ia didatangkan dalam bentuk CBU dari Jepun. 

Odyssey pertama kali dilancarkan di peringkat global pada tahun 1994. Tiba di pasaran Malaysia pada tahun 2003, ia terus dikenali sebagai sebuah MPV premium dan sudah terjual hampir 2,000 unit hingga ke hari ini. 

“Pengenalan Odyssey baharu adalah untuk memenuhi keperluan pelanggan yang mahukan sebuah MPV mewah. Pada masa sama menawarkan keselesaan, rekaan luaran elegan dan pelbagai ciri menarik dalam satu pakej,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo. 

Model facelift itu mengekalkan DNA rekaannya dengan menerima gril baharu, lampu utama LED, lampu posisi serta bampar hadapan yang direka semula. Bahagian belakang pula menerima lampu dan bampar baharu yang lebih menarik. Penampilan tersebut disempurnakan dengan rim aloi 17 inci dan lampu isyarat membelok jenis sequential.

Penambahbaikan turut diberikan kepada ruang kabin. Odyssey 2022 tampil dengan papan pemuka baharu yang merangkumi satu ruang penyimpanan barang. Papan pemuka dipasang dengan skrin bersaiz 8 inci, selain kluster meter TFT 7 inci. 

Sistem audio berkenaan boleh disambungkan dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto untuk kemudahan pemandu. 

Tempat duduk MPV berkenaan dibalut dengan kulit. Bagi memberi lebih keselesaan, tempat duduk baris kedua ialah jenis captain dan Ottoman. Kerusi itu boleh dilipat untuk menawarkan lebih ruang ketika mengangkut barang bersaiz besar.  Pemandu juga hanya perlu menggerakkan kaki di bawah bampar belakang untuk membuka pintu belakang.

Odyssey kini dilengkapi ciri keselamatan Honda SENSING yang terdiri daripada Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High Beam (AHB). 

Bagi meningkatkan tahap keselamatan, jentera itu turut mempunyai sistem kamera Multi View dengan ciri Smart Parking Assist, Blind Spot Information dan Cross Traffic Monitor. Odyssey hadir dalam tiga warna menarik iaitu putih mutiara, hitam dan perak metalik. 

Maklumat lanjut, sila kunjungi bilik pameran sah Honda yang terdekat atau hubungi talian tol percuma:  1-800-88-2020  

Google ads
Back to top button