Motosikal

“SAYA INGAT KENA SCAM” – PEMENANG UTAMA KEMPEN MOTOSIKAL 111 ALLIANZ HONDA CBR250RR

“Saya tidak jangka memenangi Honda CBR250RR malah ingat kena scam”

Demikian kata pemenang hadiah utama Kempen Motosikal 111 Allianz, Rohisham Hussain yang membawa pulang Honda CBR250RR.

Dia dimaklumkan memenangi hadiah utama berkenaan kira-kira 10 hari yang lalu.

“Pada mulanya, saya ingatkan kena scam. Maklumlah sekarang ini banyak sahaja kes-kes scammer ini.

“Bagaimanapun, saya telah menghubungi semula nombor Allianz untuk mendapat kepastian dan sama sekali tidak menjangka memenangi hadiah utama,” katanya ketika ditemui Mekanika selepas majlis penyampaian hadiah di Plaza Sentral, Kuala Lumpur.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General), Sean Wang, Timbalan CSO, Allianz General, Sazali Abd. Rahman dan pelakon Fattah Amin.

Rohisham yang bertugas sebagai despatch itu memberitahu dia tidak mempunyai perancangan untuk menjual motosikal berkenaan.

Buat masa ini, bapa kepada tiga anak tersebut berkata akan menyimpan motosikal itu.

Kempen Motosikal 111 Allianz berlangsung selama tiga bulan dan berakhir pada 31 Disember tahun lalu.

Sebanyak 110 Honda Wave Alpha dan sebuah Honda CBR250RR diberikan kepada para pemenang bertuah.

Sementara itu, Sazali berkata, pihak Allianz akan mengadakan dua lagi peraduan pada tahun ini.

“Pada tahun ini, hadiah yang akan ditawarkan kepada para pelanggan agak menarik dan unik.

“Kita akan menawarkan 50 topi keledar yang ditanda tangan oleh Fattah Amin,” katanya.  

Google ads
Back to top button