
HONDA SAMBUT ULANG TAHUN CIVIC TYPE R YANG KE-25
Sedar atau pun tidak, sejak diperkenalkan pada tahun 1997, jentera berprestasi tinggi pacuan roda hadapan Honda Civic Type R kini menyambut ulang tahun yang ke-25 pada tahun ini.
Plet nama Civic Type R itu telah menjadi sinonim dengan gandingan pemanduan dinamik dan enjin berprestasi tinggi, dan masih lagi selesa digunakan sebagai kenderaan pemanduan seharian.
Berikut merupakan sejarah ringkas keenam-enam generasi Civic Type R:

- Honda Civic EK9 Type R (1997-2000)
Plet nama Type R sebenarnya telah pun mula digunakan pada Honda NSX 1992 lagi, namun model tersebut hanya boleh didapati dalam angka yang terhad.
Maka, wujudlah model Civic Type R yang lebih mampu milik, ditawarkan secara eksklusif untuk pasaran Jepun, dan ia menampilkan enjin VTEC DOHC 1.6 liter dengan angka output 116 hp untuk setiap liter.
Digandingkan dengan berat keseluruhan 1,050 kg, Civic Type R EK9 ini turut menampilkan komponen LSD helical serta tetapan suspensi unik yang mampu mengubah pengalaman pemanduan secara menyeluruh.

- Honda Civic EP3 (2001-2005)
Generasi kedua Civic Type R tidak lagi dipasang di Jepun, sebaliknya ia mula dipasang dan ditawarkan di benua Eropah.
Civic EP3 membawakan enjin siri K DOHC i-VTEC 2.0 liter aspirasi natural dengan padanan transmisi enam nisbah kelajuan rapat, serta penggunaan bahan keluli bertegangan tinggi yang mampu meningkatkan tahap ketegaran kilas statik sebanyak 80 peratus berbanding model EK9.
Selain daripada aspek gantungan yang lebih sofistikated, Civic EP3 turut membawakan ciri stereng berkuasa elektrik (EPS) baharu dengan nisbah gear berbilang (VGR) untuk input pengendalian yang lebih baik.

- Honda Civic Type R FN2/FD2 (2007-2011)
Generasi ketiga Civic Type R adalah unik, ini kerana versi Eropah membawakan bentuk hatchback FN2 manakala versi Jepun pula ditawarkan dengan bentuk badan sedan FD2.
Jangan tak tahu, pada ketika ini Malaysia merupakan negara pertama di luar Jepun yang menawarkan Honda Civic Type R secara rasmi!
Civic FD2 membawakan enjin K20A yang berkuasa, LSD helical serta sistem brek Brembo.
Honda juga turut menawarkan Civic Mugen RR dengan pengurangan berat badan, enjin 240 PS/218 Nm serta hanya diproduksikan sebanyak 300 unit sahaja eksklusif untuk pasaran Jepun.

- Honda Civic Type R FK2 (2015-2017)
Ini merupakan generasi pertama Civic Type R yang menampilkan penggunaan enjin dengan pengecas turbo.
Nadi K20C1 2.0 liter itu berupaya menjana kuasa setinggi 310 PS, dibantu dengan Dual Axis Strut Suspension dan LSD untuk mengehad torque-steer yang terhasil akibat kuasa tinggi itu tadi.
Pecutan 0-100 km/j sepantas 5.7 saat sahaja, dan prestasi FK2 terbukti apabila berjaya memenangi beberapa gelaran kemenangan di dalam perlumbaan TCR Touring Car di seluruh dunia.

- Honda Civic Type R FK8 (2017-2022)
Kehadiran Civic FK8 merupakan evolusi terulung pada sebuah Civic Type R, dengan beberapa ciri mekanikal seperti peredam adaptif, talaan kepada enjin K20C1 dengan kuasa setinggi 320 PS, pakej aerodinamik yang garang, dan rupa paras yang menjadi idaman ramai.
Buat pertama kalinya, Honda Civic FK8 ini ditawarkan secara rasmi untuk pasaran Amerika Syarikat.

- Honda Civic Type R FL5
Generasi baharu Civic Type R kini menampilkan falsafah asal hot hatch tersebut – dengan rekaan yang lebih minimalis tanpa mengorbankan aspek aerodinamik dan pengendalian sebuah Civic Type R.
Biarpun baharu sahaja dilancarkan, Civic Type R FL5 ini sudah pun berjaya memecahkan rekod terpantas di Litar Suzuka baru-baru ini.







