Buletin

HONDA BR-V 2022 DILANCARKAN DI THAILAND. 2 VARIAN, BERMULA RM114K

Honda BR-V generasi kedua telah dilancarkan di Thailand dan berkemungkinan akan diperkenalkan di pasaran Asia lain seperti Malaysia tidak lama lagi.

Terdapat beberapa kemas kini kosmetik serta ciri baharu diterima oleh Honda BR-V 2022. Pengguna juga boleh mengharapkan ruang dalaman yang lebih lapang dan ruang but tambahan. Dimensi SUV itu adalah 4,490mm panjang, 1,780mm lebar dan 1,685mm tinggi. Jarak antara roda ialah 2,695mm. Sebagai perbandingan, saiz generasi pertama adalah 4,457mm panjang, 1,735 mm lebar x 1,677 mm tinggi. Jarak antara roda pula berukuran 2,662 mm.

BR-V 2022 mempunyai estetika reka bentuk yang seimbang, melibatkan gril hadapan dengan kemasan piano black, krom, lampu depan LED, lampu nyalaan siang (DRL) LED, perumah lampu kabus LED berbentuk unik, tiang B dan C yang dihitamkan, rel bumbung, spoiler belakang, skid plate belakang berwarna perak dan lampu belakang LED. Varian E dipasang dengan rim bersaiz 16 inci, manakala varian EL dilengkapi rim 17 inci.

Pada bahagian dalam, varian E menerima kemasan dua tona iaitu hitam dan kelabu. Varian EL mempunyai tema serba hitam yang kelihatan lebih mewah. Upholsteri tempat duduk menggunakan material campuran kulit dan kulit sintetik.

Ciri utama lain di bahagian dalam termasuk stereng berbalut kulit, tempat duduk pemandu boleh aras, corong pendingin hawa untuk penumpang belakang, sistem infotainmen dengan skrin sentuh bersaiz 7 inci dengan Apple CarPlay, Android Auto, arahan suara SIRI serta port USB.

BR-V 2022 dilengkapi sistem keselamatan Honda SENSING bagi memberi ketenangan minda kepada setiap pemandu dan penumpangnya. Antara ciri yang ada termasuklah sistem brek pengurangan perlanggaran (CMBS), bantuan lorong, kawalan pelayaran adaptif, lampu tinggi auto, road departure mitigation system with lane departure warning dan lead car departure notification system.

Ciri keselamatan lain termasuk bantuan kestabilan kenderaan, bantuan mula mendaki, kamera belakang, ABS dengan EBD, kunci auto jarak jauh, penggera keselamatan dan immobilizer. Selain itu, varian E mempunyai empat beg udara, manakala varian EL datang dengan 6 beg udara.

Honda BR-V gen kedua dikuasakan oleh enhin DOHC i-VTEC aspirasi biasa 1.5 liter berkuasa 121PS pada 6,600 rpm dan tork puncak 145Nm pada 4,300 rpm yang dipadankan dengan kotak gear CVT.

Untuk pasaran Thailand, BR-V generasi kedua ditawarkan pada harga AS$25,000 (RM114,575) untuk varian E, sementara varian EL berharga AS$26,000 (RM121,861).

GALERI:

Google ads
Back to top button