Buletin

MAHU ELAK TERLUPA KUNCI, LELAKI INI TANAM CIP DALAM TANGAN

Barangkali anda pernah melihat idea ini dalam filem, cerita-cerita fiksyen atau cuma imaginasi liar suatu masa dahulu. Namun tidak untuk seorang pemilik Tesla bernama Brandon Dalaly. Sebagai seorang yang sukakan teknologi, implan Near Field Communication (NFC) membolehkan dia membuka dan menghidupkan kereta menggunakan cip yang ditanam di dalam tangannya.

Cip itu berfungsi seperti kad kredit, ApplePay atau Gpay. Anda hanya perlu menyentuhnya. “Saya ingin menjelaskan bahawa cip ini mempunyai lebih banyak fungsi daripada sekadar Tesla. Kunci Tesla hanyalah aplikasi yang dipasang padanya,” kata Dalaly.

Untuk lebih jelas, cip itu membolehkan aplikasi berfungsi dengan hanya satu sentuhan tangan. Lebih menarik lagi, cip tersebut tidak terikat dengan satu kenderaan secara kekal kerana ia boleh mengemas kini pada masa depan jika perlu. Ini merupakan cip kedua yang ditanam oleh Dalaly ke dalam badannya.

Di tangan kirinya terdapat cip lebih kecil untuk membuka pintu depan. Ia juga menyimpan portfolio, maklumat perhubungan dan maklumat perubatan.

“Ideanya ialah saya akan mempunyai kunci rumah di tangan kiri dan kunci kereta di tangan kanan. Tidak cukup dengan itu, apa yang benar-benar menakjubkan ialah apabila ia berjaya, mereka boleh mengaktifkan cip baharu secara tanpa wayar untuk melakukan transaksi kad kredit,” kata Dalaly kepada Teslarati.

Melalui video yang dimuat naik ke Twitter, bengkak di tangannya menyebabkan proses interaksi kelihatan tidak begitu selesa dan mengambil masa lebih lama. Selepas tangannya pulih, pintu kereta boleh dibuka dengan pantas.

Dia turut menerima maklum balas negatif daripada individu yang percaya bahawa menanam cip ke dalam merupakan satu tindakan kurang bijak. “Saya cuma tidak mahu risau terlupa kunci kereta. Saya bukannya menyembah syaitan,” kata Dalaly.

Google ads
Back to top button