Buletin

HONDA YE S7 DIPERKENALKAN DI CHINA – BAKAL LANCAR HUJUNG TAHUN INI

Honda baru-baru ini telah memperkenalkan model Ye S7, SUV elektrik terbaharu untuk pasaran China, dengan pelancaran rasmi dijangka berlangsung akhir tahun ini.

Honda memperkenalkan siri EV Ye (烨) untuk pasaran China dengan matlamat mencapai 100 peratus elektrifikasi di pasaran China menjelang 2035.

Siri ini merancang untuk melancarkan enam model menjelang 2027, dengan Ye S7 dan Ye P7 sebagai model pertama akan dihasilkan oleh usaha sama Dongfeng Honda dan GAC Honda di China.

Sementara, model ketiga yang dinamakan Ye GT Concept dijangka akan diproduksi secara besar-besaran pada tahun 2025.

Rekabentuk dan Ciri-ciri Honda Ye S7

Di bahagian depan, Honda Ye S7 menggunakan lampu DRL LED, dengan reka bentuk bercabang di kedua-dua sisi dalam bentuk “H” yang memanjang.

Bahagian belakang pula dilengkapi dengan reka bentuk lampu belakang through-type, yang juga berbentuk “H” memanjang.

Selain itu, tiang A, B, serta C pada sisi kereta telah dihitamkan, ditambah dengan fender hitam, skirt sisi – memberikan penampilan lebih sporty dan menggunakan tayar 265/45R21 104V.

Dari segi dimensi, Honda Ye S7 mempunyai panjang, lebar, dan tinggi masing-masing 4,750/1,930/1,625mm dengan jarak roda 2,930mm.

Prestasi dan Spesifikasi Honda Ye S7

Honda Ye S7 dilengkapi dengan motor elektrik depan 150kW dan motor elektrik belakang 200kW yang menghasilkan kuasa 469hp, dipadankan dengan pek bateri litium ternari dari CATL.

Kelajuan maksimum adalah 180 km/j tetapi maklumat kapasiti bateri dan jarak gerak masih belum didedahkan setakat ini.

Pencapaian Jualan Dongfeng Honda

Dari Januari hingga Jun 2024, usaha sama Dongfeng Honda mencatatkan jumlah jualan sebanyak 237,900 kenderaan, meningkat 4.79 peratus berbanding tahun sebelumnya; dengan 35,400 kenderaan dijual pada bulan Jun, menurun 16.41 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Honda Ye S7 menambah satu lagi pilihan menarik dalam pasaran EV China yang semakin berkembang pesat, menekankan komitmen Honda terhadap elektrifikasi serta inovasi dalam industri automotif.

Google ads
Back to top button