Buletin

HANYA SATU DARIPADA TUJUH PENGELUAR EV CHINA MAMPU CATAT KEUNTUNGAN MENJELANG 2030 – PENGANALISIS

Industri kenderaan elektrik (EV) di China sedang berhadapan dengan persaingan sengit bukan sahaja dari luar negara tetapi juga dari dalam negara.

Walaupun ketakutan pengeluar kenderaan Barat terhadap saingan dari China yang bergerak pantas dan agresif dalam harga sudah diketahui umum, tekanan dihadapi oleh banyak jenama EV China dari pesaing domestik kurang mendapat perhatian.

Para pakar meramalkan hanya satu daripada tujuh syarikat EV yang wujud hari ini akan masih mampu mencatat keuntungan pada akhir dekad ini.

Pada masa ini, terdapat sebanyak 137 jenama kereta elektrik beroperasi di China, menurut Alixpartners, sebuah firma perunding terkemuka. Namun, penganalisis menjangkakan hanya 19 daripada jenama tersebut akan mencatat keuntungan menjelang tahun 2030.

Analisis berkenaan diambil berdasarkan perang harga yang telah berlangsung sejak beberapa tahun kebelakangan ini di pasaran domestik China dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti.

Syarikat dominan seperti BYD mempunyai margin keuntungan bagi membolehkan mereka menurunkan harga berulang kali, menekan pesaing mempunyai margin keuntungan lebih kecil tetapi terpaksa menurunkan harga mereka untuk kekal dalam persaingan.

Perang harga ini juga memberi kesan buruk kepada beberapa jenama China, termasuk WM Motor yang telah memfailkan kebankrapan pada tahun 2023.

Alixpartners menjangkakan lebih banyak syarikat akan mengikuti jejak langkah ini. Penganalisis meramalkan jenama yang tidak mampu mencatat keuntungan akan dipaksa untuk meninggalkan industri sepenuhnya atau mengubah strategi dan hanya mengejar bahagian kecil pasaran kereta.

Bulan lalu, pakar dari Alixpartners mengatakan mereka menjangkakan pengeluar kenderaan China bakal menguasai 33 peratus pasaran kereta global menjelang tahun 2030.

Industri EV di China jelas berada di persimpangan jalan dengan cabaran yang besar di hadapan. Hanya masa menentukan siapa bakal terus beroperasi dan siapa akan tersingkir dalam persaingan semakin sengit ini.

Google ads
Back to top button