
SYARIKAT PEMULA EV, LORDSTOWN MOTORS KINI BANKRAP
Tak semuanya hal-hal indah terjadi untuk syarikat pemula, misalnya, baru-baru ini, syarikat pemula kenderaan elektrik, Lordstown Motors diisytiharkan bankrap selepas berada di industri sejak 2018.
Semuanya bermula dengan baik apabila Lordstown Motors berjaya menghantar sebilangan kecil trak kepada pelanggan namun skrip berubah ketika gergasi teknologi dari Taiwan, Foxconn enggan meneruskan kerjasama.
Lordstown Motors bagaimanapun menyaman Foxconn kerana mendakwa telah melanggar kontrak. Oleh itu, syarikat berkenaan kini sedia mencari pembeli berpotensi untuk menyalakan semula cita-cita mereka menghasilkan kenderaan elektrik.

Pembeli berpotensi tidak memerlukan pelaburan banyak untuk mengambil syarikat itu secara peribadi. Seperti dilaporkan oleh Wall Street Journal, Lordstown mempunyai nilai AS$5 bilion (RM23.3 bilion) pada 2021 tetapi sehingga berita ini ditulis, nilai pasarannya hanya AS$30 juta (RM140 juta).
Permasalahan syarikat mula terjadi apabila kenderaan prototaipnya terbakar pada 2021 hingga memaksa CEO dan CFO meletakkan jawatan, sementara General Motors pula melepaskan pegangan kecilnya dalam Lordstown Motors.
Ajaibnya, Lordstown Motors berjaya menghantar beberapa trak, walaupun pada akhirnya setiap unit ditarik balik kerana masalah sambungan elektrik.
Kejadian itu menyebabkan pelabur mula meragui keupayaan Lordstown Motors dan hari ini, syarikat itu terpaksa menerima pahit hakikat bahawa tiada jalan keluar untuk meneruskan pengeluaran model kenderaan elektrik.
- BACA: SYARIKAT PEMULA INDIA DEDAH MODEL EV BERASASKAN SUZUKI JIMNY – 40HP, JARAK GERAK HANYA 120KM
- BACA: SYARIKAT PEMULA DARI MALAYSIA, HIPERON MOTORS BAKAL PERKENAL FOSSLIN – SUV MEWAH BERKUASA ELEKTRIK DAN HIDROGEN
- BACA: SYARIKAT PEMULA TEMPATAN, ETIENNE INNOVATION LANCAR EQUITY CROWDFUNDING, BINA MOBILITI UDARA
- BACA: SYARIKAT PEMULA EV, RIVIAN DAN LUCID HARAP ADA SINAR UNTUK TAHUN 2023 – JANGAN SAMPAI PELABUR LARI!


