Buletin

HUKUMAN BERAT MENANTI PEMANDU MABUK – MENTERI PENGANGKUTAN

Pemandu mabuk bakal berdepan hukuman berat penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 jika pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) diluluskan Dewan Rakyat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata mereka yang disabitkan dengan kesalahan juga boleh digantung lesen memandu sehingga 20 tahun.

“Kita sudah mencadangkan kadar penjara maksimum dengan pindaan 15 tahun untuk kesalahan pertama dan 20 tahun bagi kesalahan berikutnya.

“Kadar denda dicadangkan dinaikkan maksimum RM20,000 sekarang kepada RM100,000 untuk kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda RM150,000.

“Tempoh penggantungan lesen juga dicadang dinaikkan dari 10 tahun kepada 20 tahun,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Ka Siong berkata, hukuman baharu itu membabitkan pindaan Seksyen 41 hingga 45 Akta 333 yang dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada persidangan kali ini.

“Saya memberi sedikit gambaran apa yang dipinda nanti sudah tentu tempoh penggantungan lesen (memandu), kadar denda dan hukuman penjara akan dikenakan manakala penjara akan dicadangkan sebagai hukuman mandatori,” katanya.

Beliau berkata, turut dicadangkan dalam pindaan Akta 333 kelak ialah memperluaskan bidang kuasa penguatkuasaan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), berbanding hanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini.

Mengakui polis menjalankan tugas dengan baik, Ka Siong menegaskan, kuasa wajar diberi kepada pegawai JPJ untuk turut menguatkuatkuasakan undang-undang.

“Kabinet setuju memperluaskan penguatkuasaan kepada JPJ menangkap mereka yang mabuk,” katanya.

Ka Siong berkata, kerajaan sedia menurunkan had kandungan alkohol dibenarkan ketika memandu mengikut ketetapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Daripada 35 mikrogram (mg) alkohol dalam 100 mililiter (ml) nafas; 80 mg alkohol dalam 100 ml darah atau 107 mg alkohol dalam 100 ml air kencing kepada 22 mg alkohol dalam 100 ml nafas; 50 mg alkohol dalam 100 ml darah atau 67 mg alkohol dalam 100 ml air kencing,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara sudah menyemak draf Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan akan dibentangkan untuk persetujuan Kabinet pada 17 Julai ini, sebelum dibentang ke Parlimen.

Pada sidang media selepas itu, Ka Siong berkata, pindaan terhadap Akta 333 adalah bukti kerajaan serius menangani isu pemandu mabuk, termasuk yang boleh menyebabkan kematian.

“Amaran kita, kalau sudah mabuk dan mengambil alkohol jangan memandu. Kita tak cabuli hak orang ramai, ini bagi mereka yang minum, kalau minum jangan bawa (kenderaan),” katanya. – berita harian

Google ads
Back to top button