Artikel Pilihan

HYDROPNEUMATIC SUSPENSION- KEUNGGULAN KEJURUTERAAN DARI CITROEN

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas tentang sebuah topik yang agak menarik. Topik kali ini berkisarkan sebuah sistem yang sebenarnya sudah lama, sudah terbukti keberkesanannya. Namun tidak terlalu komersial.

Sistem yang dimaksudkan ialah sistem “Hydropneumatic Suspension”. Seperti namanya yang sukar disebut, ia merupakan sistem yang kompleks dimana sistem ini menggabungkan penggunaan gas nitrogen dan juga bendalir hidraulik. Gas nitrogen dan bendalir hidraulik ini terletak di dalam set komponen yang dipanggil “Sphere”. “Sphere” ini bertindak untuk menggantikan penyerap hentak dan juga gegelung spring seperti yang terdapat pada sistem gantungan biasa.

Sejarah sistem ini bermula apabila Paul Magès, seorang kakitangan syarikat pengeluar kenderaan Citroën mencipta sistem ini. Paul Magès tiada kelayakan formal di dalam bidang kejuruteraan, namun ideanya dapat diterjemahkan kepada realiti. Terima kasih diucapkan kepada Citroën yang memberikannya peluang untuk membuktikan keberkesanan ideanya.

Pada tahun 1954, prototaip pertama sistem ini dipasang pada jentera Citroën Traction Avant 15CVH. Pada awal pembangunan sistem ini, pihak Citroen mendapati bendalir brek tidak sesuai untuk digunakan pada sistem ini sebagai agen hidraulik. Oleh itu, mereka mencipta bendalir yang dikenali sebagai “Liquide Hydraulique Synthétique” atau LHS yang boleh dikenali dengan warnanya yang berwarna merah.

Paul Magès

Namun, masalah utama pada bendalir LHS ialah ia menyerap wap dan juga habuk dari luar sekaligus menyebabkan sistem terdedah kepada risiko karat dan juga hakisan. Walaupun sistem ini ini sistem tertutup, namun tetap ada ruang udara bagi membolehkan bendalir hidraulik bergerak.

Untuk mengatasi masalah pada LHS, pihak Citroën kemudiannya mencipta bendalir hidraulik baru yang dikenali sebagai Liquide Hydraulique Minéral atau LHM. Bendalir ini boleh dikenali dengan warnanya yang berwarna hijau. Disebabkan bahan asasnya dari Mineral, ia hanya menyerap wap dalam kuantiti yang sangat kecil dan ia mengandungi agen anti hakisan.

Sistem yang telah ditambah baik ini kemudiannya dipasang pada jentera Citroën DS pada tahun 1955. Jentera ini merupakan kereta produksi pertama di dunia yang dilengkapi dengan sistem “Hydropneumatic Suspension”.

Bagaimana Sistem Ini Berfungsi ?

Sistem “Hydropneumatic” ini menggabungkan dua prinsip teknologi iaitu sistem hidraulik dan sistem “Pneumatic”.

  • Sistem Hidraulik menggunakan asas “Pascal Law” dimana tekanan yang dikenakan kepada cecair di dalam sistem tertutup akan diedarkan secara sama rata.
  • Sistem “Pneumatic” berdasarkan asas dimana gas boleh dimampatkan. Oleh itu, komponen tidak terdedah kepada kerosakan akibat tekanan.

Dapat dirungkaikan disini, dengan menggabungkan dua prinsip ini, gas bertindak untuk menyerap tekanan manakala bendalir hidraulik pula berfungsi untuk mengedarkan tekanan.

Sistem “Hydropneumatic” yang dicipta Citroën ini merangkumi komponen seperti “Sphere”, “Hydraulic Lines”, “Pump”, dan “Reservoir”.

“Sphere” merupakan komponen yang kompleks dimana ia menempatkan gas dan bendalir hidraulik. Namun ia dipisahkan dengan “Diaphragm”. Komponen ini juga menempatkan unit “Piston” yang berfungsi sebagai medium penghubung menyerap tekanan.

“Reservoir” berfungsi untuk menempatkan bendalir hidraulik LHM.

“Pump” pada sistem ini digerakkan secara mekanikal oleh enjin melalui “Drive Belt”. Komponen ini lah yang berfungsi memberikan tekanan kepada bendalir hidraulik. Tekanan yang diberikan kepada sistem membolehkan sistem gantungan jentera dilaras ketinggiannya.

“Hidraulic Lines” berfungsi sebagai laluan bendalir hidraulik.

Secara ringkasnya, tiada penyerap hentak konvensional, tiada gegelung spring pada sistem gantungan ini. Semuanya dikawal oleh sistem “Hydropneumatic”.

Kelebihan Sistem Ini

Sistem ini memberikan pengendalian yang sangat mantap kepada jentera. Disebabkan ia dikawal secara “Hydropneumatic”, ia mampu bertindak menjadi keras dan lembut secara automatik mengikut keadaan jalan. Ketika melalui jalan yang tidak rata, ia akan menjadi lembut bagi memastikan titik sentuhan antara tayar dan jalan pada kadar maksimum. Sekiranya keras, kereta akan melambung dan membuatkannya hilang kawalan.

Ketika bergerak laju atau melalui selekoh tajam, sistem ini akan mengeras bagi mengelakkan berlakunya “Body Roll” yang membolehkan jentera hilang kawalan.

Kata kuncinya adalah memastikan jentera sentiasa di dalam kawalan tidak kira apa pun keadaan jalan.

Selain itu, kebolehupayaan sistem gantungan ini untuk dilaras tinggi rendahnya membolehkan jentera melalui jalan yang berliku seperti “Offroad”. Bukan itu sahaja, disebabkan kebolehupayaan ini juga titik graviti jentera boleh dilaras sekaligus memberikan kelebihan dari segi aerodinamik.

Disebabkan kelebihan sistem ini, pengeluar kenderaan lain turut membeli kesen bagi menggunakan sistem ini pada kenderaan keluaran mereka seperti :-

  • Rolls Royce Silver Shadow 1965
  • BMW E12 5-Series 1972
  • Maserati Quattroporte II 1974
  • Mercedes Benz W116 450SEL 1975
  • Peugeout 405 1990
  • JCB Fastrac 1990
  • Toyota Soarer UZZ32 1991

Punyalah power sistem ini, sehinggakan jentera berat JCB pun turut menggunakannya. Bukan itu sahaja. Sistem ini merupakan titik tolak kepada sistem “Double Stage Oleo-Pneumatic Shock Absorber” yang dipatenkan pada tahun 1960.

Sistem apa ini ?

Sistem ini lah yang digunakan oleh kapal terbang pada sistem gantungan mereka dan digunakan sehingga hari ini. Korang rasa bagaimana kapal terbang mampu menyerap begitu besar tekanan ketika mendarat ? Gegelung spring ? Tidak Tuan-Tuan. Sistem ini lah jawapannya.

Kenapa Sistem Ini Tidak Terlalu Komersial ?

Pertama sekali adalah disebabkan pihak Citroën masih memegang paten sistem ini. Oleh yang demikian, sesiapa pun yang hendak menggunakan sistem ini haruslah membeli lesen daripada Citroën. Perkara ini mengakibatkan kos pembuatan yang tinggi sekaligus menjadikan harga sesebuah kereta itu sangat tinggi.

Kedua ialah kos penjagaan sistem ini yang tinggi. Hal ini disebabkan akses kepada alat ganti yang terhad dan juga kelengkapan yang diperlukan untuk membaik pulih sistem ini yang sukar diperolehi. Ditambah pula dengan kemahiran yang diperlukan oleh tenaga kerja. Sukar untuk mencari tenaga kerja yang kompeten untuk membaik pulih sistem ini.

Ketiga ialah dengan pengenalan sistem “Air Suspension” secara meluas. Sistem “Air Suspension” kini digunakan secara meluas oleh kebanyakan pengeluar. Sistemnya yang lebih mudah dan kos pembuatan yang lebih murah menjadikan sistem “Hydropneumatic” semakin ke belakang. Sistem “Air Suspension” juga telah ditambah baik dari masa ke semasa sehingga menjadikan kenderaan yang dilengkapi olehnya lebih selesa dan lebih mantap pengendaliannya.

Jadi Tuan-Tuan, ini lah sedikit sebanyak yang kami dapat kongsikan dengan anda tentang “Hydropneumatic Suspension”. Walaupun sistem ini sudah lama, pihak Citroën masih menggunakannya pada jentera mereka yang tertentu dengan penambahbaikan yang terkini.

Citroën – Master Of Suspension

Tiada siapa yang dapat sangkal fakta ini.

Google ads
Back to top button