Pandu Uji

PANDU UJI: PERODUA MYVI 1.5 AV, DRAKULA LEBUHRAYA

Selain bertanggungjawab untuk menguji kereta baru yang dikeluarkan, Mekanika juga bertanggungjawab memberi nama gelaran pada kereta-kereta baru ini. Bukan apa, nama ini boleh digunakan untuk membezakan generasi kereta yang menggunakan nama yang sama. Sebagai contoh Proton Persona yang moden dan murah, senang sikit nak bezakan generasi baru dan lama.

Tapi biasalah, Mekanika kan budak nakal masa sekolah dulu lompat pagar dan ponteng prep petang. Jadi nama kereta pun mesti kontreversi. Jadi bagi Myvi 2022 1.5 ini secara rasmi akan akan letak nama Myvi Drakula. Ini kerana Myvi 1.5 varian 1.5H dan 1.5 AV dipasang dengan DRL LED menegak di bahagian bampar depan

Jadi dari jauh, anda akan nampak seperti kereta ini bertaring di bahagian bampar bak drakula yang menerkam deras dari arah belakang. Penulis sendiri boleh cam Myvi Drakula ini dari jauh disebabkan lampu DRL LED ini. Selepas dipasang dengan DRL LED ini, pemandu tidak perlu lagi memberi “high beam” kepada kereta depan untuk meminta ruang memotong.

Dari segi penggayaan luar, Perodua Myvi AV 1.5 ini nampak lebih tampan berbanding dengan Myvi 1.3G PSDA yang kami uji baru-baru ini. Selain daripada DRL LED, varian AV tampil dengan rekaan kemasan skirting depan, sisi dan juga bampar belakang 2 tona yang dicat dengan warna hitam berkilat. Front skirt depan dikemaskan lagi dengan warna perak yang memberikan imej seperti “scuff plate” yang biasa dipasang pada SUV. Nampak sedikit celaru disitu.

Semua varian 1.5 akan datang dengan rim bersaiz 15 inci dan dipasang dengan tayar lebar 185/55 dan khas untuk varian 1.5H dan 1.5AV ialah rear spoiler dengan 2 tona berbeza. Ya secara keseluruhan ia nampak lebih moden, mengetengahkan bampar rekaan baru yang lebih “clean” tapi lagi cantik kalau rekaan rim diubah kepada rekaan baru.

Dengan harga RM 58,800 bagi varian 1.5 AV ataupun secara tepatnya RM 11,000 lebih mahal berbanding dengan Myvi 1.3G PSDA anda akan dapat

1. Kusyen balutan kulit dengan kemasan berwarna merah

2. Stering balutan kulit dengan jahitan benang sebenar berwarna putih, lagi cun kalau merah

3. Papan pemuka yang dihiasi dengan calitan merah pada corong penyaman udara, jarum meter merah, dan paparan meter dengan teknologi TFT yang nampak lebih menaik serta informatif

4. Perakam video digital, sistem multimedia dengan ciri Smart Link, sambungan Bluetooth, pembesar suara bersaiz 16 inci di bahagian belakang untuk bunyi yang lebih sedap dan 2 poin pengecaj telefon

5. Stering yang lebih lengkap dengan semua butang yang memudahkan pemandu seperti butang kawalan audio, butang menjawab telefon, butang kawalan pemanduan adaptif dan juga butang “POWER”. Semua butang ini akan menyala secara automatik bila malam, jadi senang nak guna serta nampak lagi mahal

6. Ini kerana bagi varian 1.5, ia akan dipasang dengan suis Auto bagi menyalakan lampu di dalam gelap selain daripada ciri Auto High Beam. Namun paling penulis suka ialah lampu depan Myvi akan menyala waktu malam bila suis kawalan jauh untuk membuka pintu ditekan, memudahkan penulis mencari selipar dalam gelap. Lampu kabin juga akan menyala secara automatik jika ia mengesan kunci berada berdekatan kereta

7. Perodua Smart Driving Assist yang datang dengan ciri keselamatan ASA 3.0 yang berupaya mengesan, memberi amaran pra-perlanggaran dan membrek antara kelajuan 4km/j sehinggalah 120km/j. Bagi 1.5AV ia ditambah lagi dengan ciri pemanduan adaptif serta Lane Keep Control (LKC) yang akan sentiasa membantu anda berada di tengah lorong pemanduan

Jika digabungkan pemanduan adaptif dan LKC ini melayakkan Myvi 1.5 AV dikategorikan sebagai kereta pandu sendiri level 2, dengan harga RM 58,800 iaitu kereta termurah dipasaran dengan kategori ini. Cuma ketika digunakan, sistem kamera terlalu sensitif dan mengesan kenderaan di depan terlalu jauh. Ia menyebabkan Myvi brek terlalu awal dan lambat memecut semula pada halaju disetkan

8. Hanya varian AV sahaja ada sistem amaran titik buta lengkap dengan bunyi amaran JIKA anda cuba mengubah laluan yang ada kenderaan lain. Sistem ini juga bertindak sebagai Sistem Amaran Lintasan Belakang (RCTA)

9. Enjin 2NR-VE DOHC 1500cc dengan tenologi pemasaan injap berganda yang berupaya menjana 102 kuasa kuda dan 137Nm tork. Kalau dibandingkan dengan kembarnya iaitu Vios/Yaris(105 kuasa kuda, 140Nm tork), angka ini sebenarnya lebih rendah. Tapi Myvi 1.5AV hanya seberat 1050kg sahaja dengan padanan geat DCVT

Jadi walaupun Myvi AV nampak biasa sahaja atas kertas, pecutan yang dihasilkan olehnya jauh lebih padu dan bertenaga. Tak percaya? Cuba masukkan tombol gear pada S, tekan butang POWER pada stering dan pijak pedal rapat ke lantai. Myvi AV ini akan terbang laju-laju, jauh lebih ganas daripada model lama yang menggunakan gear 4 kelajuan automatik

Malah ketika mula-mula memandu uji kereta ini, sebuah pikap 4×4 turbo yang baharu cuba mengejar penulis. Tapi berputih mata selepas usaha “menjual dibeli oleh penulis dengan sesungguh hati”. Myvi AV ini laju, mungkin di tangan anak muda yang berdarah panas ia akan jadi lebih laju. Sehingga pecutan ini kadangkala membuatkan penulis kecut perut.

Ini kerana stering menjadi semakin ringan pada halaju tinggi menyebabkan kita perlu memberi fokus penuh terutama ketika mengambil selekoh. Penulis perlu membrek sedikit, mengurangkan halaju 20km/j bagi mengambil selekoh dengan cermat sebelum menekan pedal rapat semula ke lantai.

Ya walaupun model baru ini dipasang 2 bar penstabil di bahagian belakang, tapi stering tetap rasa ringan pada halaju tinggi. Rim bersaiz 15 ini memberikan input stering yang lebih baik berbanding rim 14 inci pada model 1.3G PSDA terutama pada kestabilan di jalan lurus.

Komunikasi antara tayar dan stering juga adalah lebih baik menjadikan cesi Myvi akur pada kehendak penulis, cuma kalau terlalu laju ia akan terasa ringan menghasilkan kesan kecut perut.

Walaupun dipandu laju beberapa ketika, Myvi 1.5 Av masih memberikan bacaan yang bagus jika anda memandu berhemah antara 110-130km/j. Ia memberikan bacaan purata sekitar 17.7km per liter, mungkin jauh lebih jimat jika anda lebih berdisiplin dan berhemah. Masalahnya pecutan kereta ini membuatkan anda geram dan gian untuk terus memecut.

Gear D-CVT ini juga merendahkan bacaan RPM enjin berbanding model 4AT, mungkin sehingga 100RPM lebih rendah berbanding dengan model 1.3G disebabkan enjin yan lebih berkuasa. Sistem Start Stop (Eco Idle) juga lebih senyap dan kurang bergegar berbanding dengan Aruz atau Ativa

Ketika pada halaju 110km/j, Myvi 1.5 AV terasa lebih senyap jika dibandingkan dengan model 1.3G. Jika tiada kereta, lori atau motor lalu di sebelah, ia berupaya mencatatkan bacaan sekitar 58dB sahaja dan bunyi tayar yang diisi angin 220kpa juga kurang berbanding dengan 1.3G PSDA.

Sama seperti model 1.3G, penyerap hentak yang digunakan telah dilembutkan sedikit memberikan keselesaan jika jalan tak rata. Tapi seperti biasa, dalam aspek keseimbangan antara dinamik pengendalian dan keselesaan, Proton Iriz terasa lebih baik.

Itu fakta yang kita tak boleh nafi, tapi ini bermakna Perodua tak ditambah baik. Kerana sebagai bekas pemilik Myvi Lagi Best, Myvi 1.5 AV ini terasa jauh lebih sedap. Cuma dalam aspek Harshness atau kekasaran yang perlu dipertingkat.

Bunyi -bunyi mekanikal dari komponen tayar, suspensi dan underbody akan kedengaran jika anda melalui permukaan jalan yang tidak rata. Iye la, pilihanraya lambat lagi. Ingat pihak majlis dan YB ni rajin ke nak tengok jalan berlubang.

Dalam aspek keselamatan, Myvi 1.5 AV menerima pakej keselamatan yang lebih baik seperti 6 beg keselamatan udara, perakam video digital, filem suria anti pecah, selain daripada Vehicle Stability Control, kombo PSDA, serta sistem amaran titik buta dan 2 poin ISOFIX. Cuma poin ISOFIX ini agak susah untuk dicapai, terasa ketat mungkin tersangkut dek balutan kulit.

Apabila Perodua melancarkan Myvi generasi ke 3 pada November 2017, ia telah menambah baik pengendalian menjadikannya lebih seronok dipandu tapi salah satu aspek yang penulis kurang berkenan ialah ia mengekalkan gear 4 kelajuan automatik yang kadangkala membantutkan halaju pada 160km/j. Dengan pengenalan D-CVT, penukaran gear terasa lebih lancar, lebih laju dan lebih jimat

Tapi seperti biasa kami lebih suka jika Perodua ada menawarkan ciri perehat tangan untuk pemandu seperti yang disediakan pada Perodua Bezza menerusi pakej aksesori Gear UP. Mungkin pada sesetengah pembaca harga RM 58,800 ini agak mahal bagi sebuah kereta kompak segmen B, tapi penulis sanggup bayar RM 60,000 kalau ia dipasang dengan brek cakera belakang untuk kuasa membrek yang lebih padu.

Tapi apa-apa pun Perodua Myvi 1.5AV dipakejkan dalam satu kombinasi yang menarik dengan enjin yang jimat, transmisi yang membebaskan kuasa dengan lebih baik, laju, sistem keselamatan terkini serta boleh diklasifikasikan sebagai kereta pandu sendiri kategori 2 pada harga RM 58,800. Mungkin jika anda pandu kereta ini di lebuh raya, pihak trafik akan perhatikan anda lebih lama.

Google ads
Back to top button