Buletin

HYUNDAI BAKAL KELUAR MODEL EV SEGMEN A BAHARU, HARGA BAWAH RM100K

Hyundai baru-baru ini dikhabarkan bakal mengeluarkan kereta bandar iaitu alternatif EV kepada i10 berharga di bawah AS$21,452 (RM96,276).

Menerusi imej disiarkan oleh Carscoops, model baharu itu direka seakan Hyundai Casper yang diilhamkan dari penggayaan futuristik model Ioniq 5 dan Kona EV.

Dari imej tersebut, kita boleh lihat lampu LED piksel Hyundai digunakan dalam bar lebar penuh selain dipadankan pada bampar. Sementara itu, bahagian belakang juga mendapat sentuhan serupa termasuklah menggabungkan elemen minimalis.  

Walaupun semua model EV Hyundai adalah berdasarkan seni bina E-GMP namun perkara ini tidak berlaku pada model A-Segmen yang akan datang. Salah satu sebabnya ialah platform itu lebih sesuai untuk kenderaan segmen B atau segmen E.

Jadi platform apa bakal digunakan Hyundai untuk segmen A?

Hyundai datang memberi senario lebih munasabah untuk model lebih kecil iaitu menggunakan seni bina K1 yang turut menyokong model Hyundai i10 serta Kia Picanto berkuasa ICE.

Tawaran pelepasan sifar berdasarkan platform K1 boleh dilakukan seperti dibuktikan oleh Kia Ray EV berspesifikasi Korea, dan EV Hyundai Casper 2023.

Maka dengan itu, kita boleh membayangkan model EV baharu ini datang dalam versi lebih canggih dan lebih halus selain menawarkan peningkatan dari segi kualiti tunggangan, NVH, keselamatan serta kecekapan.

Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai spesifikasi tetapi Hyundai telah mengesahkan bahawa EV bersaiz kecil baharu akan dilengkapi dengan modul pemacu bersepadu (iDM) yang diperoleh daripada BorgWarner.  Motor elektrik tunggal ini menghamburkan kuasa sehingga 181Hp.

Jika laporan mengenai EV bandar adalah benar, masa depan kelihatan menjanjikan untuk peminat Hyundai pada pertengahan 2023 dan lewat 2024.

Google ads
Back to top button